'Hargai ibu bapa, orang tersayang mampu bina pertalian erat'

Dr Wan Azizah menasihatkan supaya hargai ibu bapa dan orang yang disayangi kerana ia mampu membina pertalian lebih erat dengan ahli keluarga.
Dr Wan Azizah menasihatkan supaya hargai ibu bapa dan orang yang disayangi kerana ia mampu membina pertalian lebih erat dengan ahli keluarga.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Nilai-nilai murni dalam menghargai ibu bapa dan orang yang disayangi mampu membina pertalian lebih erat dalam kalangan ahli keluarga sekali gus memberi penghormatan kepada mereka yang lebih tua.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam perutusan ucapan Tahun Baru Cina berkata, sifat berakhlak mulia dan menghormati ibu bapa serta mereka yang lebih tua adalah antara ciri-ciri yang perlu ditekankan semasa perayaan ini.

“Terutamanya budaya makan malam bersama keluarga pada ambang perayaan. Kita mesti sentiasa menghargai serta menjaga ibu bapa dan mereka yang disayangi, bukan sahaja pada musim perayaan.

“Pengorbanan mereka tidak ternilai dan ini tidak patut dilupakan. Pada Tahun Baru Cina ini, jangan kita lupa untuk bersyukur kerana dapat bersama mereka yang tersayang,” katanya.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, masyarakat juga seharusnya tidak melupakan golongan yang kurang bernasib baik dengan meringankan beban mereka selain melakukan kebaikan di mana sahaja berada.

Dalam pada itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin pula percaya perayaan Tahun Baharu Cina ini mampu menjadi mengukuhkan hubungan muhibah dan menyuburkan perpaduan rakyat Malaysia.

“Raikan perayaan kali ini bersama ahli keluarga dan mereka yang disayangi. Xin Nian Kuai Le! Selamat Menyambut Tahun Baru Cina kepada seluruh rakyat Malaysia yang meraikannya,” katanya di Twitter.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kedatangan Tahun Baru Cina ini seharusnya dimanfaatkan rakyat Malaysia dengan menerapkan nilai-nilai kecerdikan dan kebijaksanaan di dalam kehidupan seharian dengan mendekati dan memahami satu sama lain sesuai dengan semangat perpaduan yang sinonim dengan keluarga besar Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Saya dan seluruh warga kementerian ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua rakyat Malaysia terutamanya masyarakat Cina.

"Semoga tahun Tikus ini membawa tuah, kesihatan serta mempermudahkan segala urusan bagi anda dan keluarga. Semoga selamat dalam perjalanan balik ke kampung untuk menikmati Nian Kao dan Yee Sang bersama keluarga,” katanya.

Menteri Industri Utama Teresa Kok dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tidak ketinggalan membuat ucapan yang berbunyi: “Selamat Tahun Baharu Cina, Gong Xi Fa Chai! Semoga anda semua lebih berbahagia daripada tahun-tahun lepas”.

Dalam pada itu, kepelbagaian dan keharmonian hubungan yang wujud antara kaum dalam masyarakat majmuk menjadikan sambutan Tahun Baru Cina di negara ini sangat unik dan istimewa, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

"Selamat menyambut Tahun Baru Cina kepada seluruh rakyat Malaysia berbangsa Tionghua terutama sekali kepada penjawat awam yang menyambut perayaan ini," kata beliau dalam hantaran di FB, Twitter dan Instagram rasminya.

Dalam ucapan itu, beliau juga berharap hubungan baik berkekalan dan lebih utuh demi mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

Ketua Pengarah Perkhidmatan, Awam Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman pula percaya, perayaan kali ini mampu diraikan dalam suasana harmoni dan aman. - Bernama