MPKKP bawa suara rakyat ke atas: Rina

Rina bergambar bersama penerima watikah dan orang ramai yang hadir pada majlis penyerahan Watikah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) Negeri Perlis di Institut Kemahiran Mara Perlis hari ini. -Foto Bernama
Rina bergambar bersama penerima watikah dan orang ramai yang hadir pada majlis penyerahan Watikah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) Negeri Perlis di Institut Kemahiran Mara Perlis hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PADANG BESAR - Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) bukan sahaja berperanan sebagai ejen penyampai maklumat kepada rakyat, tetapi juga membawa suara rakyat ke peringkat atasan, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Katanya, MPKKP juga berperanan menyalurkan maklumat keperluan pembangunan masyarakat kampung kepada kerajaan dan menjadi ejen perubahan membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat kampung.

“Diharapkan dengan pelantikan baharu MPKKP ini, suara dan keperluan rakyat dapat disalurkan dengan lebih cepat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan watikah pelantikan MPKKP Negeri Perlis di Institut Kemahiran MARA, Berseri dekat sini, hari ini.

Majlis penyerahan kepada 670 pengerusi dan setiausaha yang mewakili 387 kampung di Perlis itu turut dihadiri Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merangkap Penyelaras MPKKP Perlis, Wan Saiful Wan Jan.

Rina berkata beliau berharap kewujudan MPKKP dapat berfungsi sebagai jentera rasmi kerajaan persekutuan di peringkat akar umbi.

“Kita telah menganjurkan pelbagai program untuk kebaikan rakyat, namun maklumat tidak sampai kepada rakyat...yang sampai hanya berita-berita negatif, berbanding dengan berita positif,” katanya.

Sementara itu, Rina berkata, satu kuota khas 30 peratus pelantikan itu diberikan kepada wanita yang turut aktif dalam pembangunan kampung.

“Jika sebelum ini jawatan pengerusi dan setiausaha hanya diberikan kepada kaum lelaki, namun hari ini kaum wanita juga diberi peranan yang lebih besar ... di Perlis seramai 36 orang wanita dilantik sebagai pengerusi manakala 95 setiausaha,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas pendirian kerajaan Negeri Perlis mengekalkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Rina berkata perkara tersebut terserah kepada keputusan kerajaan negeri itu.

“Jika mereka (kerajaan negeri ) ini kekalkan JKKK itu adalah hak mereka dan kita di peringkat persekutuan menubuhkan MPPKP bagi membuat penambahbaikan demi kepentingan dan kebajikan rakyat,” katanya. -Bernama