Ibu imbas kisah RM20 sebelum 3 anak meninggal kemalangan
SHAH ALAM - Kematian anak merupakan kehilangan yang paling menyakitkan lebih-lebih lagi melibatkan tiga insan tersayang 'pergi' dalam sekelip mata menyebabkan ia sukar untuk diterima sekali gus menjadi igauan dalam kehidupan.
Itu yang dilalui Nur Baizura Mustaffa, 35, sejak setahun lalu apabila tiga anaknya disahkan meninggal dunia dalam kemalangan di Pekan, Pahang pada 24 Jun 2023.
Menurut wanita tabah itu, ketika kejadian terbabit berlaku, dia sedang menggoreng lauk ayam yang diminta anak-anaknya.
"Tiba-tiba anak perempuan saya, Nik Nur Faqihah, 12, dan Nik Ikram Nuqman, 6, teringin makan aiskrim. Jadi mereka minta izin untuk keluar bersama abangnya, Nik Ikram Idwan, 16.
"Ketika itu saya hanya mempunyai RM20 sahaja dan memberikan kepada mereka. Saya berkeras tidak membenarkan adik yang bongsu ikut, tapi tindakan mereka menuju ke motor terlalu pantas. Tak sangka itu permintaan terakhir sebelum saya kehilangan tiga anak serentak," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Ujar Nur Baizura, kejadian tersebut sangat terkesan kepada mental dan perasaannya.
Setiap hari sehingga kini dia sering terbayang tiga arwah terbaring tidak bernyawa sehinggakan dirinya trauma untuk menunggang motosikal.
"Bagi mengelakkan perkara berkenaan, saya selalu mohon kepada ALLAH untuk mengambil kembali daya ingatan dan nyawa saya.
"Saya kini menjadi sedikit pelupa, kekadang jiran sendiri saya boleh tak ingat. Namun kejadian ngeri itu sentiasa di ingatan saya. Perit sangat kehilangan mereka.
"Hanya yang mengalami akan faham perasaan tersebut. Alhamdulillah saya masih ada dua anak, suami, keluarga dan kawan-kawan. Ada insan tidak dikenali pun tampil beri pelbagai kata semangat," katanya.
Tambah Nur Baizura, sekiranya rindu menjengah kepada tiga arwah anak, dirinya mengalami kecelaruan dan penyesalan atas kejadian berlaku.
Bicaranya lagi, rumah diduduki sekeluarganya jauh di pedalaman yang memerlukan motosikal atau kereta sebagai pengangkutan untuk ke kedai.
"Saya masih tidak okey sebenarnya, lagi-lagi bila rindu mereka. Penuh penyesalan. Teringat saya selalu marah-marah apabila mereka menunggang motosikal tanpa kebenaran saya.
"Sehingga satu tahap saya ingin membakar motosikal tersebut biarpun ia dibeli menggunakan wang hasil kerja separuh masa arwah anak yang bertujuan ke sekolah," katanya.
Sementara itu, pesan Nur Baizura buat orang ramai agar yakin ALLAH menguji seseorang mengikut kemampuan, selain berusahalah memenuhi kehendak anak-anak selagi termampu.
"Bahagiakan anak, jangan pernah membezakan mereka. Ajal maut tak kira masa dan tempat. Kalau ALLAH dah takdirkan ia tidak awal atau lewat sesaat pun, sentiasa bersedia. Jangan pernah lupa pada Sang Pencipta," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!