X

Kindly register in order to view this article
!

Perak catat 177 kes kebakaran terbuka

Azmi ditemui selepas mengadakan pemeriksaan Kempen Keselamatan Kebakaran bagi Penghapusan Bahaya Kebakaran sempena Musim Perayaan Tahun Baharu Cina di Ipoh Parade.
A
A

IPOH - Sebanyak 177 kes kebakaran terbuka direkodkan berlaku di Perak setakat tahun ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Azmi Osman berkata, daripada jumlah itu, 133 kes adalah melibatkan kebakaran belukar diikuti kebakaran sampah (28), kebakaran hutan (12) dan kebun (empat).

"Kita memandang serius kes-kes kebakaran seperti ini apatah lagi kita sedang berdepan musim panas dan kering.

"Dalam kes kebakaran hutan contohnya, ia mengambil tempoh masa yang agak lama antara seminggu atau dua minggu untuk menanganinya dan kita juga memerlukan satu-satu kekuatan dari segi keanggotaan dan peralatan, jadi ia bukan sesuatu yang mudah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pemeriksaan Kempen Keselamatan Kebakaran bagi Penghapusan Bahaya Kebakaran sempena Musim Perayaan Tahun Baharu Cina di pusat membeli-belah Ipoh Parade di sini kelmarin.

Azmi berkata, tahun lalu Perak mencatatkan 2,408 kes kebakaran terbuka dengan 174 daripadanya melibatkan kebakaran hutan.

Katanya, berdasarkan statistik dikeluarkan, didapati kebakaran terbuka tidak berlaku dengan sendiri melainkan kegagalan manusia.

"Kita harapkan akan ada pengurangan besar terhadap kes tahun ini.

"Sempena musim cuti ini, kita nasihatkan mereka yang gemar beriadah di hutan elakkan membawa atau menggunakan bahan-bahan yang mudah bakar seperti mancis dan membuang putung rokok kerana ia boleh menyumbang kepada kebakaran," katanya.