PRK Sungai Bakap: Calon PN tidak terkesan isu kelayakan akademik

Abidin (tiga dari kanan) ketika melawat bilik operasi PN di Kampung Besar, Sungai Bakap pada Isnin.
Abidin (tiga dari kanan) ketika melawat bilik operasi PN di Kampung Besar, Sungai Bakap pada Isnin.
A
A
A

SUNGAI BAKAP - Calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail tidak terkesan dengan isu kelayakan akademik yang dimainkan pihak lawan termasuk membandingkan dirinya dengan calon Pakatan Harapan, Dr Joohari Ariffin.

Abidin berkata, perkara itu bukan isu yang penting dan perlu dipertikaikan, namun baginya penerimaan serta sokongan masyarakat lebih perlu diutamakan dalam tempoh berkempen ketika ini.

"Tak apa..masing-masing ada kelebihan tersendiri.

"Kalau saya kelayakan Darjah Enam pun orang complaint, saya diploma pun orang complaint jadi bagi saya, itu bukan isu yang penting.

"Sebaliknya apa yang lebih utama kita dapat berdamping dan diterima oleh masyarakat," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat bilik operasi PN di Kampung Besar, di sini pada Isnin.

Abidin (kiri) ketika melawat bilik operasi PN di Kampung Besar, Sungai Bakap pada Isnin.
Abidin (kiri) ketika melawat bilik operasi PN di Kampung Besar, Sungai Bakap pada Isnin.

Sebelum ini, kelayakan akademik Abidin dipersoal banyak pihak berikutan kelulusannya tidak dipamerkan pada poster calon berbanding calon Pakatan Harapan, Dr Joohari Ariffin, 60, yang memiliki kelayakan Ijazah Kedoktoran (PhD).

Menjawab kepada pertikaian itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini berkata, kelayakan akademik tidak boleh dijadikan pengukur kelayakan bagi menjadikan seseorang pemimpin politik cemerlang pada masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ramai pemimpin politik di negara ini yang tidak mempunyai kelayakan akademik tinggi, namun mampu menggalas tugas dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!