19 mangsa rugi RM1.84 juta terpedaya skim pelaburan mesin minuman

Hishamuddin
Hishamuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Sekurang-kurangnya 19 mangsa kerugian RM1.84 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan mesin minuman ditawarkan sebuah syarikat.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, skim tersebut menggunakan modus operandi menyasarkan golongan miskin dan kurang berkemampuan sebagai mangsa.

Menurutnya, kebanyakan mangsa mengakui berminat untuk menyertai skim pelaburan tersebut kerana ingin membuat pendapatan tambahan secara pasif di samping pekerjaan seharian utama yang mereka lakukan.

"Konsep pelaburan yang ditawarkan oleh syarikat tersebut adalah pengadu dijanjikan dengan satu pulangan dividen yang lumayan serta manfaat-manfaat lain.

"Kami mengesyaki janji-janji yang diberikan oleh syarikat tersebut adalah tidak benar atau tidak wujud kerana mangsa-mangsa tidak pernah menerima langsung sebarang bayaran dividen atau pulangan seperti mana yang dijanjikan oleh syarikat itu.

"Di samping itu, pengadu juga tidak pernah ditunjukkan atau dikemukakan sebarang bukti bahawa mesin minuman air layan diri tersebut memang benar-benar wujud dan ada atau tidak," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Hishamuddin berkata, pengadu telah berhubung dengan ejen pemasaran wakil syarikat tersebut namun tiada jawapan positif yang diberikan.

"Alasan yang diberikan oleh pihak syarikat dan pengarah syarikat adalah kerana perniagaan pada ketika itu tidak dapat dijalankan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diisytiharkan oleh kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Kini, apabila pengadu bertanyakan lagi berkenaan dengan skim pelaburan yang mereka sertai ini, pihak syarikat telah memaklumkan bahawa syarikat telah ditutup atau syarikat telah digulungkan akibat perlu menanggung hutang yang lain," katanya.

Sehubungan itu katanya, tindakan syarikat berkenaan jelas mahu melepaskan tanggungjawab setelah mengambil duit-duit pelaburan daripada semua mangsa yang terpedaya.

Tambahan pula tegasnya, sesebuah syarikat sendirian berhad tidak boleh menerima sebarang pendanaan awam seperti mana yang telah diwartakan di bawah Akta Syarikat.

Katanya, sesebuah syarikat yang ingin menawarkan sesuatu skim pelaburan itu juga perlu untuk mendapatkan lesen dan juga kebenaran daripada pihak berkuasa yang mengawal selia skim-skim pelaburan di Malaysia ini.

"Seandainya syarikat ini yang menawarkan skim pelaburan yang tidak wujud dan tidak sah, maka ia dapat disimpulkan bahawa syarikat itu menerima wang pelaburan daripada sesuatu aktiviti haram yang dilakukan oleh pihak syarikat tersebut.

"Maka ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA)," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!