Kanak-kanak lemas ketika mandi bersama rakan di takungan air

Mohd Hashim menunjukkan gambar anak lelakinya, Muhammad Aiman ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB, di Alor Setar pada Sabtu.
Mohd Hashim menunjukkan gambar anak lelakinya, Muhammad Aiman ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB, di Alor Setar pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang bapa tidak menyangka perasaan tidak sedap hati menjadi petanda anak lelakinya lemas dalam kawasan takungan air berdekatan Perumahan Kakitangan Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, di sini, pada Jumaat.

Mangsa, Muhammad Aiman Harith Mohd Hashim,10, yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Sintok ditemui lemas selepas memancing dan mandi di kawasan takungan air itu bersama rakan-rakannya.

Bapa mangsa, Mohd Hashim Nazri, 36, berkata, ketika kejadian dia menjaga anak bongsunya, Nurisya Amanda, 5, manakala isterinya, Siti Noorazar Shamsuddin, 30-an, keluar bekerja di Jabatan Keselamatan UUM.

"Saya pernah pesan kepada Muhammad Aiman yang merupakan anak sulung daripada dua beradik supaya tidak bermain di kawasan takungan air terletak tidak jauh dari kediaman kami.

"Bagaimanapun, saya tidak menyangka dia keluar rumah dan pergi ke kawasan takungan air sebelum ditemui lemas," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, pada Sabtu.

Menurutnya yang bekerja sebagai pesawah, dia menerima panggilan memaklumkan Muhammad Aiman lemas dan bergegas ke lokasi kejadian sebelum melihat orang ramai sedang memberi bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) terhadapnya.

Bagaimanapun, kata Mohd Hashim, badan anak lelakinya kelihatan lembik, malah tidak memberi sebarang tindakan balas terhadap CPR itu.

Artikel Berkaitan:

Mangsa lemas di kawasan takungan air ini yang terletak berdekatan Perumahan Kakitangan UUM, Sintok, pada Jumaat.
Mangsa lemas di kawasan takungan air ini yang terletak berdekatan Perumahan Kakitangan UUM, Sintok, pada Jumaat.

Tambah beliau, Muhammad Aiman tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum pergi mengadap Illahi.

"Cumanya, saya ada mengajaknya untuk pulang ke kampung di Kodiang pada pagi hari kejadian tetapi Aiman enggan," katanya.

Katanya lagi, Aiman juga sempat mengikuti ibunya mendaki bukit pada pagi hari kejadian sebelum lemas pada sebelah petang.

Mohd Hashim berkata, walaupun sedih kehilangan anak sulungnya namun reda dengan apa yang berlaku.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, pihaknya menerima laporan tentang seorang kanak-kanak lelaki lemas dalam kawasan takungan air itu pada jam 4.55 petang.

"Hasil siasatan mendapati mangsa bersama tiga rakannya memancing di tempat kejadian lebih kurang jam 3 petang.

"Selepas memancing, mangsa bersama rakan-rakan mandi dalam takungan air tersebut dan berlaku insiden mangsa lemas," katanya.

Beliau memaklumkan, mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pembantu perubatan yang bertugas di Klinik UUM.

Tambah Rodzi, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat mangsa di bawa ke Jabatan Forensik HSB, di sini, untuk bedah siasat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!