PRK Sungai Bakap: SPR tubuh dua pasukan penguat kuasa kempen

Para petugas SPR melakukan persiapan menjelang hari penamaan calon PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) N.20 Sungai Bakap. Foto Bernama
Para petugas SPR melakukan persiapan menjelang hari penamaan calon PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) N.20 Sungai Bakap. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan dua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya bagi memantau aktiviti calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom berkata, semua kaedah dan bahan kempen dibenarkan selagi tidak mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati, permusuhan atau berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan termasuk isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja) serta tidak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) dan undang-undang berkaitan.

"SPR berharap aktiviti berkempen berjalan dalam suasana harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya juga tertakluk pada undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan bagi tujuan mempamerkan dan mengedarkan bahan kempen yang mengandungi gambar calon, lambang atau simbol parti serta gambar pemimpin parti gabungan atau komponen.

"Tiada had ditetapkan kepada gambar bagi parti politik yang bertanding dan gambar pemimpin parti politik komponen atau gabungan atau pakatan pada bahan kempen pilihan raya,” katanya.

Selepas pengisytiharan nama-nama calon yang akan bertanding dalam PRK berkenaan hari ini, tempoh berkempen bermula hingga 11.59 malam, 5 Julai ini.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin untuk merampas kembali kerusi kubu kuat PKR itu, manakala PN yang perlu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lepas diwakili bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail.

Artikel Berkaitan:

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

SPR menetapkan hari mengundi awal bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 2 Julai ini, manakala hari mengundi 6 Julai.- Bernama

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!