Warga emas masuk perangkap 'polis'

(Gambar kecil: Mohd Wazir)
(Gambar kecil: Mohd Wazir)
A
A
A

KUANTAN - Seorang warga emas membuat laporan polis semalam mendakwa kerugian RM105,000 akibat diperdaya seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada 24 Disember tahun lalu.

Mangsa berusia 75 tahun itu mendakwa dia diarah membayar wang jaminan bagi mengelak ditangkap dan aset dibekukan atas kesalahan yang dia sendiri tidak pasti.

Akur dengan arahan itu, mangsa telah membuat pembayaran sebanyak empat kali iaitu RM20,000 hingga RM30,000 membabitkan jumlah keseluruhan RM105,000 melalui empat akaun bank atas nama individu yang berbeza.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menerima arahan 'scammer' yang menyamar sebagai anggota polis itu melalui aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, bimbang ditangkap dan aset dibekukan, mangsa termasuk jerat penipuan itu sehingga mengalami kerugian besar.

"Difahamkan selepas bayaran dibuat, mangsa diminta melupuskan (membakar) resit transaksi kononnya bagi tujuan keselamatan.

"Mangsa juga diminta menunggu dan akan dimaklumkan berhubung perkembangan kesnya itu," katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa mula curiga dan syak telah ditipu selepas tidak menerima sebarang maklum balas perkembangan kesnya daripada lelaki tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Susulan laporan polis yang dibuat warga emas itu, polis membuka kertas siasatan kes ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Polis juga dalam tindakan mengesan dan menangkap empat suspek yang dikenal pasti sebagai pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes ini untuk membantu siasatan," katanya.