X

Kindly register in order to view this article
!

Penunggang motosikal maut rempuh kereta

Keadaan motosikal mangsa selepas bertembung dengan sebuah kereta Proton Persona semalam. - Foto ihsan IPD Dungun (Gambar kecil: Baharudin Abdullah)
A
A

DUNGUN - Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer (KM)1 Jalan Paka- Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) di sini semalam.

Dalam kejadian jam 9.05 pagi, mangsa, Muhammad Fikri Mohd Rani, 28, dari Felda Kerteh 5 Ketengah Jaya di sini disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Paka, di sini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz bertembung dengan kereta Proton Persona dari arah bertentangan.

"Difahamkan kereta dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun itu dalam perjalanan dari Taman Paka Jaya 5 hendak ke sekolah Tadika Kemas Gong Gemia Paka, di sini.

"Setibanya di lokasi (Jalan Santong berdekatan Jabatan Hutan), lelaki itu dikatakan membelok masuk ke simpang yang tidak dibenarkan di sebelah kanan lalu dilanggar di bahagian pintu sebelah kiri belakang oleh mangsa yang menunggang dari arah bertentangan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Baharudin berkata, akibat perlanggaran itu, mangsa yang cedera dihantar mendapatkan rawatan susulan di Klinik Kesihatan Paka di sini sebelum disahkan meninggal jam 9.15 pagi manakala pemandu kereta tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu kenderaan secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus