JPJ sumbang RM4.32 bilion hasil negara

Shaharuddin berucap dalam Perhimpunan Bulanan JPJ di sini hari ini.
Shaharuddin berucap dalam Perhimpunan Bulanan JPJ di sini hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyumbang sebanyak RM4.32 bilion kepada hasil negara tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, kutipan itu meningkat sebanyak 1.98 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Sebanyak 68 peratus daripada jumlah hasil itu ia dijana oleh Lesen Kenderaan Motor (LKM) iaitu sebanyak RM2.97 bilion," katanya dalam ucapan Perhimpunan Bulanan JPJ di sini hari ini.

Menurutnya, sehingga Disember 2019, JPJ mengeluarkan saman sebanyak 1,406,902 notis berbanding tahun 2018 iaitu sebanyak 1,175,731.

"Daripada jumlah pengeluaran notis tersebut, 625,326 telah selesai dengan jumlah kutipan hasil sebanyak RM132,331,520 (RM132 juta)," katanya.

Beliau berkata, bagi kesalahan tiada Competent Driving License (CDL), sebanyak 224,878 saman telah dikeluarkan dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh pula adalah sebanyak 186,467.

"Sementara itu, bagi tujuh kesalahan utama pula sebanyak 65,332 saman yang telah dikeluarkan.

"Kita perlu sentiasa ingat bahawa penguatkuasaan bukanlah untuk meningkatkan hasil semata-mata, tetapi mendidik masyarakat agar patuh terhadap undang-undang yang telah ditetapkan demi kebaikan sejagat," katanya.

Artikel Berkaitan: