Popo Lim Seng suka berhias

Lim Seng sibuk membuat persiapan sempena Tahun Baru Cina yang akan disambut pada Sabtu ini.
Lim Seng sibuk membuat persiapan sempena Tahun Baru Cina yang akan disambut pada Sabtu ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Berusia hampir satu abad, warga emas ini bukan sahaja mampu menguruskan dirinya sendiri, malah masih kuat melakukan pelbagai aktiviti seperti menjahit dan memasak.

Bukan itu sahaja, Lim Seng, 99, atau mesra disapa popo (bahasa Mandarin bermaksud nenek) turut ligat bermain mahjong yang sememangnya memerlukan ketajaman akal fikiran dan daya ingatan yang kuat.

Menurut Lim Seng, beliau sentiasa mengamalkan pemakanan yang sihat dengan makan banyak sayur-sayuran untuk sentiasa awet muda dan mengurangkan pengambilan makanan yang berminyak.

“Dahulu saya buka kedai makan dan memang setiap hari kena kerja kuat, jadi badan banyak bergerak dan mengeluarkan peluh. Mungkin sebab itu boleh sihat sampai sekarang,” katanya kepada Bernama di kedai makan miliknya yang kini diuruskan oleh anaknya, Poh Tik Heng, 70, dan menantu, Fu Sek Sue, 63, di Kampung Cina di sini semalam.

Walaupun sudah berusia, Lim Seng masih kuat untuk melakukan pelbagai aktiviti terutama menjahit pakaian.
Walaupun sudah berusia, Lim Seng masih kuat untuk melakukan pelbagai aktiviti terutama menjahit pakaian.

Walaupun kini mengalami masalah penglihatan pada mata kanannya, Lim Seng masih mampu berjalan di sekitar Kampung Cina dan bertemu rakan-rakan.

Mudah tersenyum dan ketawa, Lim Seng turut dikenali dengan sikapnya yang menjaga penampilan setiap hari walaupun hanya berada di rumah.

Beliau akan memastikan pakaian yang dipakainya sentiasa kemas, sering mengenakan bedak di muka, memakai minyak wangi dan rambutnya akan disisir serta disanggul rapi.

Artikel Berkaitan:

“Saya tinggal di tingkat atas (tingkat atas kedai makannya), setiap kali hendak turun atau keluar akan ambil masa paling kurang setengah jam untuk bersiap sehingga anak saya pun ‘pening’ dengan saya.

“Mereka cakap saya ‘jangok’ (melawa),” katanya sambil ketawa.

Lim Seng berkata, meskipun sudah berusia namun itu bukan alasan untuk dirinya mengabaikan penjagaan diri dan penampilan, apatah lagi beliau sememangnya suka berhias sejak muda lagi.

Lim Seng menunjukkan gambarnya ketika remaja di kediamannya di Kampung Cina, Kuala Terengganu semalam.
Lim Seng menunjukkan gambarnya ketika remaja di kediamannya di Kampung Cina, Kuala Terengganu semalam.

Beliau yang berhijrah ke Terengganu dan tinggal di Kampung Cina sejak 70 tahun lalu kerana mengikut mendiang suami, Poh Chew Say yang bekerja membawa kapal laut turut berkongsi rasa terujanya menantikan kedatangan Tahun Baru Cina pada Sabtu ini.

Menurutnya, walaupun kebanyakan persiapan Tahun Baru Cina dibuat oleh anak dan cucunya, namun setiap tahun beliau akan menyediakan menu ayam kam heong untuk dinikmati keluarganya pada acara tradisi makan besar nanti.

“Apabila berkumpul, saya selalu beri nasihat kepada ahli keluarga supaya sentiasa hidup dengan baik, jangan bergaduh dan tidak sesekali mengeluarkan kata-kata yang tidak elok kepada sesiapa sahaja,” katanya yang mempunyai tiga orang anak, 11 cucu dan enam cicit.

Sementara itu, ditanya harapannya sempena Tahun Baru Cina pada tahun ini, Lim Seng berharap akan terus dikurniakan kesihatan yang baik dan sentiasa bergembira bersama keluarganya. - Bernama

Lim Seng (kanan) membantu menantunya memasang tanglung untuk persiapan menjelang Tahun Baru Cina di kediaman mereka di Kampung Cina, Kuala Terengganu.
Lim Seng (kanan) membantu menantunya memasang tanglung untuk persiapan menjelang Tahun Baru Cina di kediaman mereka di Kampung Cina, Kuala Terengganu.