514 penjawat awam sudah terima ganjaran lapor kes rasuah

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 514 penjawat awam sudah diberi ganjaran berjumlah lebih RM1 juta antara 2012 hingga 2023 kerana melapor dan mendedahkan kes rasuah yang membawa kepada sabitan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pemberi maklumat kepada kerajaan bakal diberi ganjaran sama sepertimana tawaran suapan yang diterima kerana membantu dalam membanteras jenayah tersebut.

"Ia ringgit untuk ringgit. Jika anda ditawarkan RM100, kerajaan akan beri RM100.

“Jika anda ditawarkan RM1 juta, kerajaan akan kembalikan RM1 juta kepada anda," katanya ketika program audio siar ‘Beyond the Headlines’ kendalian New Straits Times (NST) pada Isnin.

Azam turut memaklumkan, menerusi Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 yang diumumkan pada Mei lepas, skim sama boleh diperluaskan kepada masyarakat, namun ia masih di peringkat cadangan.

"Perkara itu masih dalam cadangan, prosedur khas dan optimum bersama agensi peneraju masih belum diputuskan kerana ia di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

"Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 perlu diperbaharui dan kami bersetuju, BHEUU kini sedang dalam proses meminda undang-undang," ujarnya.

Tambah beliau, SPRM merupakan satu-satunya agensi penguatkuasaan yang menggunakan undang-undang berkenaan dan giat mempromosinya kepada orang awam sejak tujuh tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Ada tiga kategori yang tampil ke SPRM iaitu pengadu, pemberi maklumat dan informan.

“Sebagai contoh, pengadu perlu ke mahkamah, namun boleh dikatakan kurang daripada lima peratus yang ingin membuat aduan bersedia untuk beri keterangan di mahkamah.

"Bagi pemberi maklumat dan informan, identiti mereka dilindungi dengan baik. Sekarang BHEUU ingin beri ganjaran dan saya fikir ia idea yang baik kerana boleh menggalakkan lebih ramai tampil membuat aduan terutama kepada SPRM," jelas Azam lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!