Imigresen tambah baik perkhidmatan 'autogate' di pintu masuk utama negara

Mutu perkhidmatan terbaik telah diberikan oleh JIM menerusi 'autogate' di KLIA tanpa berkompromi isu keselamatan negara.Foto: Bernama
Mutu perkhidmatan terbaik telah diberikan oleh JIM menerusi 'autogate' di KLIA tanpa berkompromi isu keselamatan negara.Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Peningkatan jumlah ketibaan pelawat asing ke negara ini memerlukan proses efisien dan pantas tanpa berkompromi tentang aspek keselamatan.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh berkata, bagi jumlah ketibaan pelawat asing pada 2023, pihaknya telah merekodkan lebih 30 juta orang.

Beliau berkata, kadar ketibaan terus meningkat yang mana sehingga bulan Mei 2024, lebih 13 juta pelawat asing direkodkan memasuki Malaysia untuk pelbagai tujuan.

Kata beliau, mutu perkhidmatan terbaik telah diberikan oleh JIM menerusi 'autogate' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tanpa berkompromi isu keselamatan negara.

"Perkhidmatan JIM melalui 'autogate' di KLIA telah dibuka kepada pelawat asing bermula pada 1 Jun 2024.

"Kemudahan ini adalah selaras dengan pengumuman kerajaan yang memutuskan agar penggunaan 'autogate' di pintu masuk utama diperluaskan kepada 63 buah negara bagi memenuhi permintaan kemasukan pelawat asing yang semakin meningkat terutamanya setelah negara pulih daripada pandemik Covid-19.

"Inisiatif ini terbukti berkesan dan berjaya mempercepatkan proses pelepasan kepada 10 hingga 15 saat sahaja, berbanding 30 minit masa menunggu di kaunter manual," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ruslin berkata, menerusi penggunaan autogate di pintu masuk utama negara, ia mampu mengurangkan kesesakan di balai ketibaan KLIA secara signifikan dengan pencapaian 85 peratus ketibaan dapat diselesaikan dalam masa 25 minit.

Artikel Berkaitan:

Untuk itu menurut beliau, pihaknya komited dalam menambah baik perkhidmatan 'autogate'.

Dalam usaha menambah baik, katanya, JIM akan terus meneliti dan memperkemaskan proses kerja bagi meningkatkan mutu perkhidmatan.

Jelas beliau, JIM dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam perancangan untuk menambah bilangan 'autogate' bagi menampung permintaan penggunaannya yang semakin mendapat sambutan daripada pelawat asing ketika ini.

Selain itu tegasnya, pegawai JIM yang bertugas di pintu-pintu masuk juga diberi latihan secara berterusan dalam menguruskan kemasukan pelawat asing serta sentiasa diingatkan untuk menjalankan tugas selaras dengan Prosedur Kerja Standard (PKS) ditetapkan.

"JIM sentiasa komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan mengalu-alukan cadangan penambah baikan sebagai usaha berterusan jabatan untuk meningkatkan kelancaran pergerakan di pintu masuk utama negara.

"Ini merupakan komitmen jabatan untuk terus menyokong pembangunan ekonomi negara tanpa mengabaikan keistimewaan serta kemudahan untuk warganegara Malaysia," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!