Dua ahli sindiket penipuan fail APK diberkas

Antara telefon bimbit yang dirampas.
Antara telefon bimbit yang dirampas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua lelaki tempatan disyaki ahli sindiket Trojan Spymax yang terlibat secara langsung dengan sindiket penipuan antarabangsa ditahan secara berasingan di Pulau Pinang dan Johor, pada Rabu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, bertindak atas waran tangkap, pihaknya bersama Polis Antarabangsa (Interpol) dan Polis Singapura telah melancarkan operasi bagi menahan dua lelaki berusia 27 dan 48 tahun.

"Mereka berperanan sebagai penjual malware dan pengurus sewaan server yang menempatkan fail aplikasi (APK)," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Ramli berkata, polis turut merampas tiga telefon pintar pelbagai jenama, satu pasport, satu kad pengenalan dan seutas jam tangan, anggaran nilai rampasan RM6,000.

"Hasil siasatan, sindiket ini menawarkan jualan produk dan perkhidmatan melalui media sosial Facebook, Instagram dan seumpamanya.

"Mangsa yang berminat untuk membeli produk akan diberikan pautan fail APK yang perlu 'install' ke telefon sebagai sebahagian daripada proses pembelian," katanya.

Beliau berkata, fail APK itu merupakan perisian bersifat 'malicious' dan ia boleh menggodam telefon mangsa.

"Seterusnya memberikan akses kepada sindiket penipuan untuk membaca nombor pas pengesahan transaksi (OTP) pada sistem pesanan ringkas (SMS), 'screen mirror', 'contact list', dan 'remote access' kepada peranti milik mangsa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ramli berkata, operasi itu merupakan hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Singapura selama hampir setahun.

"Kerjasama itu dalam mengenal pasti, mengumpul dan mengesahkan data identiti ahli-ahli sindiket yang berselindung di sebalik teknologi internet/komputer dari beberapa negara berbeza," katanya.

Menurutnya, kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada pihak Interpol untuk diekstradisi ke Singapura bagi tujuan pendakwaan.

"Melalui tangkapan ini, JSJK percaya telah melumpuhkan infrastruktur dan gerak kerja sindiket malware Apk di rantau ini," katanya.

Ramli berkata, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati ketika memuat turun dan memasang sebarang perisian pada peranti masing-masing.

"Sebarang muat turun fail aplikasi ke telefon pintar hendaklah dilakukan melalui platform yang selamat seperti Google Play dan App Store sahaja," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!