Klinik Kesihatan Tangkarason musnah terbakar

Pasukan bomba berusaha memadamkan kebakaran membabitkan klinik kesihatan dan kuarters di Kampung Tangkarason, Beluran.
Pasukan bomba berusaha memadamkan kebakaran membabitkan klinik kesihatan dan kuarters di Kampung Tangkarason, Beluran.
A
A
A

BELURAN - [DIKEMAS KINI] Sebuah klinik kesihatan dan juga kuarters kakitangan musnah dalam kebakaran di Kampung Tangkarason, di sini pada Khamis.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.08 pagi dan seramai empat anggota dikejar ke lokasi.

"Kebakaran melibatkan Klinik Kesihatan Tangkarason dan kuarters jenis tidak kekal yang terletak sejauh 215 kilometer dari BBP Beluran.

"Kedua-duanya terbakar 100 peratus semasa pasukan bomba tiba di lokasi dan usaha memadamkan kebakaran segera dilakukan menggunakan sumber air terbuka iaitu kolam," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Edoen berkata, api hanya berjaya terkawal pada jam 6.20 pagi.

"Setakat ini tiada mangsa dilaporkan terlibat, namun maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa," katanya.

Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah merangkap Exco Kesihatan negeri ini, Datuk James Ratib memaklumkan, kejadian itu menjejaskan hampir 3,000 penduduk yang bergantung sepenuhnya terhadap perkhidmatan klinik tersebut.

Menurutnya, pembinaan semula klinik kesihatan itu perlu dilakukan mengambil kira keperluan penduduk di sekitarnya.

Artikel Berkaitan:

"Sementara menunggu pembinaan semula klinik tersebut, terdapat perancangan awal hasil perbincangan bersama wakil kampung untuk menggunakan dewan serbaguna kampung tersebut untuk dijadikan klinik sementara.

"Selain klinik yang terbakar ini, terdapat dua lagi klinik terletak di kawasan berkenaan iaitu Klinik Kesihatan Paitan yang terletak 29 kilometer dari Kampung Tangkarason dan Klinik Kesihatan Sungai Sungai (50 kilometer)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.