8 pemimpin Pemuda Sosialis DAP tegur Syed Saddiq

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Lapan pemimpin Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) dalam satu kenyataan bersama membidas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kerana mengkritik pemimpin Pakatan Harapan (PH) lain dalam isu peralihan kuasa Perdana Menteri.

Mereka yang mengeluarkan kenyataan bersama itu ialah Setiausaha Pemuda DAP Antarabangsa, Satees Muniandy; Timbalan Ketua, Chiong Yoke Kong; Setiausaha, Eric Teh; Pengarah Pendidikan Politik, Tan Tiong Yih; Setiausaha Penganjur, Lee Wei Siang; Bendahari, Khoo Khim Han dan ahli jawatankuasa Woo Kah Leong dan Yu Ong Ching.

Dalam kenyataan itu, mereka menegaskan Syed Saddiq perlu membetulkan dahulu sayap parti Bersatu sebelum mencampuri isu parti lain.

Kata mereka, Syed Saddiq perlu membersihkan dahulu imej Armada yang telah tercemar ekoran serbuan polis terhadap satu penganjuran pesta dadah di sebuah kondominium yang turut melibatkan beberapa pemimpin parti itu baru-baru ini.

“Jika ada sesiapa yang perlu membetulkan diri mereka, ia adalah Syed Saddiq. Dia sepatutnya membetulkan sayap parti yang diketuainya terlebih dahulu sebelum cuba menasihati orang lain,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

DAPSY turut menegur Syed Saddiq kerana menuduh sembarangan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) terutama dari DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam isu peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Majoriti pemimpin yang disebut Syed Saddiq dalam kenyataannya tidak ada menyebut bahawa Dr Mahathir perlu meletak jawatan serta-merta. Mereka hanya menyuarakan pandangan majoriti rakyat Malaysia.

“Rakyat Malaysia mahu peralihan kuasa secara aman tanpa kejutan. Pemimpin-pemimpin ini tidak kata Mahathir perlu segera meletakkan jawatan. Apa yang mereka minta ialah satu tarikh ditetapkan,” kata mereka.

Artikel Berkaitan:

Menurut tujuh pemimpin DAPSY berkenaan, tarikh peralihan yang ditetapkan dengan jelas akan menghapuskan kekeliruan ramai.

"Apa yang sukar bagi Syed Saddiq untuk faham? Syed Saddiq sendiri mengakui peralihan kuasa adalah sesuatu yang telah dibincangkan dan diputuskan oleh Majlis Presiden (PH).

“Apa yang salah dalam meminta penjelasan dalam perkara ini? Komen mereka tidak lain hanyalah menyuarakan pendapat dan pandangan mereka,” kata mereka lagi.