Piala FA pentas MUFT matangkan permainan

Pemain MUFT meraikan jaringan ketika menentang PDRM pada aksi Pusingan 16 Piala FA di Stadium Selayang pada Rabu lalu. Foto Bernama
Pemain MUFT meraikan jaringan ketika menentang PDRM pada aksi Pusingan 16 Piala FA di Stadium Selayang pada Rabu lalu. Foto Bernama
A
A
A

KEJAYAAN Malaysian University Football Team (MUFT) mara ke suku akhir Piala FA disifatkan peluang terbaik buat The University Tigers mematangkan permainan masing-masing pada masa depan.

Malah pengendali Ridzuan Abu Shah mengakui pasukan Liga A1 Semi-Pro dibarisi dalam kalangan penuntut sepenuh masa institusi pengajian tinggi itu teruja berdepan dengan penyandang juara Johor Darul Ta'zim (JDT) di suku akhir.

“Sejujurnya pemain-pemain MUFT mahu berdepan JDT, sebuah kelab berstatus juara 10 kali berturut-turut Liga Super, selain juara bertahan Piala FA, supaya kami pasukan berstatus penuntut dapat belajar lebih banyak perkara baharu, keluar dengan status menang atau kalah dalam perlawanan ini sebahagian daripada adat permainan.

“Sebenarnya pengalaman berdepan JDT sukar diperolehi, malah untuk bermain berdepan JDT ini mungkin sekali dalam seumur hidup, pemain-pemain MUFT selepas habis belajar (ijazah, Masters atau PhD) mereka ini akan meneruskan perjalanan sebagai guru, fizikal trainer atau tenaga pengajaran, jadi memori berdepan JDT ini memang sukar dicari sebagai pemain semi-pro. Memori itu akan jadi pengalaman hidup sebagai pemain bola sepak (semi-pro),” katanya kepada Sukan Sinar.

MUFT mengesahkan kemaraan ke suku akhir selepas menjinakkan pasukan pilihan dari Liga Super, PDRM FC, 3-0 dalam aksi Pusingan 16 Piala FA di Stadium Selayang.

Mengulas lanjut kempen suku akhir Ridzuan berkata: “Kami tampil di pentas Piala FA sebagai pasukan underdog dibarisi dalam kalangan budak-budak U yang got nothing to lose.

“Jadi tidak kiralah siapa pun kita jumpa, budak-budak U tetap berusaha tampilkan aksi sehabis baik dengan gaya dan acuan bola sepak MUFT sebenar.”

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!