[VIDEO] 'Setiap sen hasil subsidi diesel dipulangkan kepada rakyat seadilnya'

A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat sekali lagi menegaskan penjimatan daripada penyasaran subsidi yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan akan dikembalikan kepada rakyat seadilnya.

Sebelum ini, Anwar berkata, penjimatan menerusi penyasaran subsidi diesel akan dikembalikan kepada rakyat khususnya bagi menampung keperluan pengangkutan awam dan suntikan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

"Kita tidak dera rakyat miskin.

Setiap sen tambahan, kita pulangkan balik,” katanya ketika berucap pada Himpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) di sini pada Jumaat.

Anwar berkata, penyasaran subsidi diesel dilaksanakan kerana berlaku ketirisan melampau bahan bakar itu khususnya melibatkan penggunaan oleh kapal nelayan asing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar IBrahim menyampaikan ucapan semasa hadir pada Himpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jumaat. Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar IBrahim menyampaikan ucapan semasa hadir pada Himpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jumaat. Foto Bernama

"Jumlah kenderaan mungkin naik sekitar lapan peratus tapi penggunaan diesel naik 20 ke 30 peratus, maknanya yang lain itu bocor.

"Tiris siapa bayar? Negara bayar... wang itu sepatutnya disalurkan ke pendidikan, kesihatan, untuk orang miskin tapi hilang kepada penyakau ini dan sebab itu kita kena buat penyasaran,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri juga mahu tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan atau perkhidmatan meskipun menerima subsidi diesel.

Menteri Kewangan itu berkata, subsidi diesel ketika ini masih diteruskan kepada golongan berhak merangkumi nelayan, pengusaha bas sekolah dan pekebun kecil.

Mengambil contoh perkhidmatan bas sekolah yang menerima subsidi diesel, beliau berkata pengusaha bas berkenaan bakal berdepan tindakan lesen dibatalkan jika menaikkan harga perkhidmatan mereka.

"Kita bagi amaran, kamu diberi subsidi (diesel)... jika kamu naik (harga) juga dalam keadaan kamu dapat subsidi, kami tarik lesen kamu dan batalkan syarat,” katanya.

Harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter bermula 10 Jun iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.

Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilapor berkata, untuk tempoh seterusnya, harga diesel akan diumumkan setiap minggu mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan, dan kerajaan akan memantau keadaan bagi mengelak ketidakstabilan harga.

Bagaimanapun, beliau berkata, penyasaran subsidi diesel itu tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!