Pestabola Merdeka: Malaysia dijangka berdepan pasukan pencabar kelayakan Piala Asia

Noor Azman (kiri) dan Mohd Yusoff ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif ke-11 bagi Penggal 2021-2025 di Wisma FAM pada Khamis. Foto Bernama
Noor Azman (kiri) dan Mohd Yusoff ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif ke-11 bagi Penggal 2021-2025 di Wisma FAM pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya dijangka berdepan pasukan pencabar utama dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 pada saingan Pestabola Merdeka 2024, September depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berkata, pasukan daripada Balang 1 dan 2 Kelayakan Piala Asia akan dijemput berentap pada kejohanan itu bagi mempersiapkan skuad bimbingan Kim Pan-gon menjelang aksi kelayakan Piala Asia.

"Kita akan anjur Pestabola Merdeka dengan menjemput empat pasukan...tapi kita belum putuskan (pasukan mana), bulan depan akan hantar jemputan,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM ke-11 di Wisma FAM di sini pada Khamis.

Berdasarkan ranking semasa, Malaysia menjadi pasukan terbaik daripada Balang 2 bersama Filipina, Turkmenistan, Afghanistan, Singapura dan Yaman manakala Syria, Tajikistan, Thailand, Vietnam, Lubnan dan India berada di Balang 1.

Hong Kong, Taiwan, Maldives, Myanmar, Nepal dan Bangladesh pula mengisi Balang 3 manakala Bhutan, Laos, Pakistan dan tiga pemenang 'play-off' akan berada dalam Balang 4.

Pestabola Merdeka 2023 menyaksikan Tajikistan, India dan Palestin dijemput beraksi di kejohanan berkenaan dengan Harimau Malaya terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas dikecewakan Tajikistan di pentas final Oktober tahun lepas.

Dalam pada itu Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, Harimau Malaya bakal berdepan perlawanan persahabatan pada jendela perlawanan antarabangsa Oktober ini dengan pasukan yang dipilih juga merupakan skuad daripada Balang 1 dan 2 Kelayakan Piala Asia 2027.

Beliau pada masa sama memuji prestasi skuad Harimau Malaya yang berjaya meraih 10 mata dalam Kumpulan D meskipun gagal melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai status Pan-gon, Mohd Yusoff berkata, Ketua Jurulatih skuad kebangsaan itu akan terus mengemudi skuad Harimau Malaya sehingga tamat kontraknya tahun depan.

"Setakat ini tiada perbincangan lain dengan jawatankuasa pengurusan kebangsaan atau jurulatih sendiri (mengenai Pan-gon), kita akan mengikut kontrak sedia ada, sampai tahun depan.

"Kontrak kita akan kekalkan, jadi apa-apa pertandingan sebelum tamat kontrak akan diteruskan Pan-gon,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!