Kontena Terbang: SPRM tahan 11 pegawai Kastam, rampas wang tunai RM4.4 juta

Antara barangan yang berjaya dirampas SPRM
Antara barangan yang berjaya dirampas SPRM
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 17 individu termasuk 11 pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi membantu siasatan berhubung kes lari cukai atau ‘kontena terbang’.

Difahamkan, antara yang turut ditahan dan dikenal pasti ialah enam pengarah syarikat serta pekerja termasuk seorang ‘runner’ bersama kekasihnya.

Menurut sumber, hasil siasatan SPRM setakat ini berjaya merampas wang tunai kira-kira RM4.4 juta dipercayai diperoleh secara rasuah oleh pegawai kastam yang terlibat.

“Ini tidak termasuk empat motosikal Yamaha XMAX bernilai RM28,000 beserta satu kenderaan Alphard bernilai lebih RM200,000 dan kereta BMW terpakai.

“Selain itu barang kemas, jam tangan mewah dan sebidang lot tanah yang dibeli secara tunai.

“Kesemua barangan sita ini sebahagian daripada hasil rasuah yang dikesan SPRM dan sebanyak 12 akaun syarikat serta individu dibekukan dengan anggaran RM2 juta,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan beberapa individu termasuk pegawai kastam ditahan melalui Op Transit selepas disyaki terbabit dalam kes berkenaan yang bergiat aktif di Pelabuhan Klang.

Individu terlibat difahamkan bersekongkol dengan sindiket penyeludupan barangan import yang mengakibatkan ketirisan cukai RM3.5 bilion kepada negara.

Artikel Berkaitan:

SPRM dengan kerjasama JKDM telah meneliti kesemua 19 kontena yang disita dan mendapati sindiket terbabit membuat pengisytiharan palsu terhadap barangan seperti kerusi roda, tandas duduk, tekstil serta peralatan kesihatan tidak bercukai.

Bagaimanapun, kesemua kontena terbabit didapati mengandungi pelbagai barangan lain termasuk lampu LED, papan panel solar, peralatan aksesori motosikal atau kenderaan, pakaian, daging babi proses dalam tin dan lain-lain.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan, beliau telah mengarahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya untuk mendedahkan penemuan wang tersebut.

“Hari ini beliau akan menunjukkan tentang wang yang nilainya begitu besar di kalangan beberapa pegawai terlibat," ujarnya.

Azam berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis pelancaran buku ‘The Sin of Corruption: A Religious Perspective’ oleh Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Khamis.

Ahmad Khusairi ketika dihubungi media mengesahkan penahanan berkenaan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17 (b), Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009 dan Akta AMLATFPUAA 2001.

"Tindakan mengesan dalang utama sindiket sedang giat dijalankan melalui kerjasama agensi luar negara," jelas beliau lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!