Demonstrasi aman tuntut pengeluaran Akaun 1 ke Akaun 3 KWSP

A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Satu himpunan aman telah diadakan di hadapan bangunan Menara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Persiaran Kwasa Utama, Kwasa Damansara pada Isnin.

Himpunan anjuran Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) yang disertai dua lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sekumpulan pencarum itu diadakan supaya Akaun 1 (Akaun Persaraan) dibenarkan untuk pengeluaran mengikut formula pemindahan 10/30 ke Akaun 3 (Akaun Fleksibel).

Kelonggaran itu hanya dibenarkan kepada pencarum yang tidak mempunyai baki langsung atau kurang daripada RM10,000 dalam Akaun 2 (Akaun Sejahtera).

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau bersama wakil NGO lain hadir menyatakan sokongan serta menghantar memorandum tuntutan kepada pihak KWSP bagi memastikan supaya suara rakyat sebagai pencarum dapat didengari.

"Saya harap pihak KWSP dan kerajaan dapat mendengar rintihan dan keluhan daripada pencarum-pencarum ini sendiri.

"Saya akan terus bawa (tuntutan ini) di peringkat Parlimen tetapi kesukaran yang kita hadapi ialah kerajaan tidak dengar apa yang kita suarakan," katanya ketika ditemui petugas media di hadapan Menara KWSP, Kwasa Damansara.

NGO lain yang terlibat ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF).

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, KWSP memperkenalkan Akaun Fleksibel yang membolehkan ahli mereka mengeluarkan simpanan pada bila-bila masa untuk sebarang tujuan.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan KWSP, permohonan bagi pengeluaran daripada Akaun Fleksibel boleh dibuat melalui KWSP i-Akaun atau di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!