Dakwa ahli SPR berfikiran politik, itu pandangan Wan Ahmad - Azmi

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Dakwaan mengatakan ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dilantik pada 2018 tidak mengikut perlembagaan kerana ada kecenderungan terhadap parti politik tertentu hanya pandangan peribadi bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar semata-mata.

Jelas Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom, Wan Ahmad berhak menyuarakan pandangan tersebut.

“Dia berhak dan itu pandangan beliau,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat urusan tarikh penting PRK Sungai Bakap di sini pada Khamis.

Wan Ahmad menerusi wawancara bersama Sinar Harian yang disiarkan pada Khamis mendakwa, pemilihan ahli Suruhanjaya SPR yang dibuat semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad bukan sahaja tidak mencerminkan kehendak perlembagaan malah lantikan individu pada usia yang terlalu muda serta bukan dalam kalangan penjawat awam yang sudah lama berkhidmat.

Dakwanya, Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) telah mencadangkan kepada Dr Mahathir senarai ahli-ahli suruhanjaya tersebut dan beliau menerimanya secara bulat-bulat.

Ekoran itu, SPR kini didakwa bukan saja tidak berkualiti dan diragui.

Bagaimanapun, Azmi membidas perkara tersebut dan menjelaskan tahap integriti suruhanjaya itu tidak pernah dipersoalkan oleh sesiapa.

Katanya, walaupun terdapat beberapa perkara kecil yang boleh diperbaiki untuk tujuan penambahbaikan, namun setakat ini setiap urusan perjalanan pilihan raya berjalan dengan teratur dan lancar.

Artikel Berkaitan:

“Kalau kita lihat maklum balas daripada pemerhati apa dinyatakan adalah perkara kecil dan boleh diperbaiki lagi. Tetapi dari segi integriti proses tersebut memang tidak ada soal, setakat ini amat puas hati,” katanya.

Dalam perkembangan lain beliau memaklumkan, SPR belum menerima notis pemfailan petisyen oleh Perikatan Nasional (PN) berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Sebelum ini, Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan pihaknya sedang mengumpulkan bukti salah laku dalam PRK Kuala Kubu Baharu sebelum mengemukakan petisyen kepada SPR.

PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei lalu menyaksikan PH mempertahankan kerusi DUN itu selepas calonnya Pang Sock Tao, menang dengan majoriti 3,869 undi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!