[VIDEO] Walau tanah milik pemaju, penduduk terjejas wajar dibantu - Hamzah

A
A
A

GOMBAK - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa kerajaan negeri dan pemaju gagal menangani isu pengosongan Kampung Seri Makmur di sini secara adil.

Hamzah yang meninjau lokasi perobohan itu pada Khamis berkata, walaupun tanah itu milik pemaju tetapi pihak syarikat patut mempunyai rasa bertanggungjawab untuk membantu penduduk terjejas.

Beliau turut berpandangan, pelaksanaan kerja perobohan terhadap rumah penduduk serta sebuah surau berusia lebih 40 tahun tidak mengikut konsep keadilan sewajarnya.

Hamzah (tiga dari kiri) meninjau lokasi perobohan di Kampung Seri Makmur Gombak.
Hamzah (tiga dari kiri) meninjau lokasi perobohan di Kampung Seri Makmur Gombak.

"Walau apa juga cara sekali pun mereka tinggal, penduduk juga telah membantu dari segi ekonomi domestik di Selangor.

"Saya juga merasakan Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) tidak bertanggungjawab membiarkan sebuah surau dirobohkan tanpa ambil kira barangan yang masih ada di dalamnya terutama al-Quran.

"Saya sedih lihat keadaan surau dirobohkan dan melihat al-Quran dalam keadaan terbiar," katanya pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Hamzah (dua dari kiri) meninjau lokasi perobohan di Kampung Seri Makmur Gombak.
Hamzah (dua dari kiri) meninjau lokasi perobohan di Kampung Seri Makmur Gombak.

Hamzah (kiri) melihat kitab agama yang ditinggalkan di lokasi perobohan surau.
Hamzah (kiri) melihat kitab agama yang ditinggalkan di lokasi perobohan surau.

Justeru, beliau menggesa kerajaan negeri memanggil semula pemaju untuk penilaian semula ganti rugi buat penduduk terjejas.

"Pemaju perlu kira semula jumlah keuntungan yang bakal diperoleh hasil pembangunan di atas tanah ini dan diberikan peratusan kepada 150 keluarga terjejas.

"Itu baru nampak keadilan dan jika tidak saya akan bersama dengan keluarga di sini membantu untuk mengambil tindakan seterusnya," katanya.

Sementara itu, Amirudin menjelaskan telah memberikan peluang dan tempoh mencukupi buat penduduk terlibat mengemukakan bukti bahawa mereka adalah penduduk asal di tanah berkenaan.

Amirudin
Amirudin

Ujarnya, penduduk diminta mematuhi syarat seperti diputuskan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) serta Pejabat Daerah Daerah dan Tanah Gombak untuk penempatan semula.

"Hanya 21 keluarga penuhi syarat tersebut dan mendapat tawaran rumah atau rumah ganti selepas melampirkan bukti diperlukan.

"Kerajaan negeri melalui proses ini dengan teguh kerana kawasan itu banyak kejadian tidak diingini seperti kehadiran warga asing dan keperluan pembangunan yang sebahagiannya merupakan perumahan rakyat," katanya ditemui pada sidang akhbar Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor dan PKNS Selangor Masters di Kelab Seri Selangor pada Khamis.

Seorang penduduk dilihat termenung melihat rumah yang telah dirobohkan menerusi operasi dijalankan pada Isnin lalu.
Seorang penduduk dilihat termenung melihat rumah yang telah dirobohkan menerusi operasi dijalankan pada Isnin lalu.

Amirudin pada masa sama turut menegaskan, pihaknya bersedia untuk melihat kembali bantuan yang boleh diterima keluarga berkenaan kerana itu adalah tugas hakiki sebagai kerajaan negeri.

"Kita bersedia melihat balik apa boleh dibantu, tetapi kena buktikan mereka penduduk asal (yang) wajar dapat penempatan dan tidak dapat pampasan lain," katanya.

Operasi perobohan struktur rumah penduduk dilakukan pada Isnin lalu selepas penduduk terlibat menerima notis supaya mengosongkan rumah selewat-lewatnya pada 21 Januari lalu.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebelum ini memaklumkan penjualan tanah di kampung itu kepada sebuah syarikat dimeterai pada 8 September 2020 dan syarikat tersebut memperoleh perintah mahkamah untuk melaksanakan tindakan meroboh semua struktur di tanah itu pada 14 Mei lepas.

Kerajaan Selangor juga telah menawarkan pembelian seunit Rumah Selangorku dengan harga subsidi RM65,000 dan sagu hati 'ex-gratia' sebanyak RM1,000 kepada 21 setinggan asal, berdasarkan pengesahan bancian pada 2006 dan 2016 mengikut senarai Pejabat Daerah Daerah dan Tanah Gombak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!