Jadi kemenangan Muafakat Nasional, kata Jamil Khir

Jamil Khir Baharom
Jamil Khir Baharom
A
A
A

ALOR SETAR - Kemenangan parti Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis adalah kemenangan Muafakat Nasional.

Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kesepakatan Muafakat Nasional begitu menyerlah dengan komitmen ditunjukkan seluruh ahli parti termasuk rakan komponen dan sahabat parti pembangkang yang berjuang dalam satu saf mengharungi cabaran Kimanis.

Menurutnya, walaupun sumber agak terhad, kepelbagaian parti pembangkang bergabung tenaga menjadikan perbezaan itu sebagai pelengkap, bukan kekurangan menyebabkan seluruh jentera lancar di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan bilik gerakan parti.

“Semua parti pembangkang berkampung di Kimanis sejak awal bermula dari hari penamaan calon menampilkan wajah baharu Datuk Mohamad Alamin hinggalah di saat akhir berjuang dan mencipta kemenangan.

"Sejak awal lagi Parti Warisan Sabah (Warisan) yang diramal menang mudah,” katanya.

Jamil Khir berkata, ternyata rakyat kini semakin bijak memilih wakil rakyat selain mengenali dan memahami politik setempat.

“Pengundi bijak menghadam politik lingkungan dan menilai serta menimbang kedua-dua kerajaan yang diberi peluang memerintah, antara Pakatan Harapan (PH) dan BN,” katanya.

Menurutnya, kemenangan dengan lebih majoriti juga membanggakan, apabila bertambah kepada 2,029 undi berbanding 156 undi sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Kemenangan Datuk Seri Anifah Aman di Kimanis pada Pilihan Raya Umum lalu agak rapuh dengan majoriti 156 undi di zaman BN berkuasa. Ia menggambarkan sebuah parlimen yang mudah ditawan apabila PH dan Warisan menjadi kerajaan,” katanya.

Jamil Khir berkata, disebabkan itu sejak awal lagi peramal politik memilih Warisan sebagai parti favourite bagi memenangi PRK Kimanis.

“Pelbagai analisa dan fakta antaranya kerajaan Sabah itu sendiri dikuasai Warisan manakala Persekutuan dipegang kerajaan yang sama iaitu PH (Pakatan Harapan). Pada masa sama, UMNO Sabah dikatakan lumpuh, malah dianggap nazak selepas wakil rakyatnya lompat parti,” katanya.