Nahas helikopter TLDM: Pesawat Fennec tidak berada pada ketinggian, haluan ditetapkan

Abdul Rahman menunjukkan rakaman insiden helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, 23 April lalu.
Abdul Rahman menunjukkan rakaman insiden helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, 23 April lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Laporan akhir Lembaga Siasatan nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut pada 23 April lalu, merumuskan bahawa salah satu pesawat tidak berada pada haluan yang ditetapkan.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata, selain itu Lembaga Siasatan turut mendapati pesawat Fennec tidak berada pada ketinggian ditetapkan.

"Dapatan itu diperoleh selepas semakan rakaman video berdurasi 7 saat kedudukan tujuh helikopter yang terbabit dalam raptai Hari Ulangtahun TLDM ke-90.

"Faktor utama mendapati pesawat Fennec tidak berada pada ketinggian dan haluan yang diterapkan serta memasuki laluan pesawat Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW139," katanya pada sidang akhbar, di sini, pada Khamis.

Abdul Rahman berkata, faktor sekunder mendapati Channelized attention atau tumpuan utama kru pesawat AW139 yang tertumpu ke arah pertukaran haluan telah mengehadkan reaksi mengelak pelanggaran.

"Dalam laporan itu tidak menyatakan langsung kecuaian manusia," katanya.

Beliau berkata, Laporan Akhir itu adalah selari dengan Laporan Awal yang telah dikeluarkan sebelum ini.

"Laporan ini juga akan dihantar ke State Ainworthiness Authornty (SAA) untuk rekod," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Lembaga Siasatan yang telah ditubuhkan pada hari insiden dianggotai 9 pegawai TLDM berkepakaran penerbangan dan kejuruteraan udara.

"Lembaga Siasatan itu turut melibatkan bantuan dari Markas Tentera Udara - Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) serta doktor perubatan Angkatan Tentera Malaysia," katanya.

Menurutnya, Laporan Akhir itu adalah kesinambungan daripada Laporan Awal yang telah dikeluarkan pada 9 Mei lalu.

"Lembaga Siasatan melaksanakan siasatan bagi mengenal pasti punca atau faktor yang telah menyumbang kepada insiden tersebut," katanya.

Beliau berkata, Lembaga Siasatan turut melaksanakan analisis semula profil penerbangan pada hari kejadian dengan mensimulasikan profil tersebut menggunakan simulator penerbangan dan juga pesawat sebenar.

"Bantuan dan pandangan daripada pihak Airbus Helicopter sekiranya terdapat data-data pada peralatan pesawat Fennec yang dapat membantu siasatan," katanya.

Dalam tragedi pada jam 9.32 pagi, 23 April lalu, TLDM mengesahkan 10 anggotanya terkorban membabitkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM.

TLDM memaklumkan mangsa yang terkorban ialah Pegawai Memerintah Skuadron 502, Komander Muhamad Amir Mohamad, Leftenan T. Sivasutan (juruterbang Skuadron 502) serta Pegawai Waran II Mohd Shahrizan Mohd Termizi (Kuartermaster Udara Skuadron 502).

Mangsa lain Pegawai Memerintah Skuadron 503 Komander Muhammad Firdaus Ramli, Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Zainal Abidin, Pegawai Taktikal Udara Skuadron 503 Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohd Marzukhi, dan Kuartermaster Udara Skuadron 503 Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun.

Tiga anggota wanita yang maut pula ialah Laskar Kanan Joanna Felicia anak Rohna dari Markas Udara TLDM, Pegawai Waran II Norfarahimi Saedy (Depot Bekalan Armada Barat), dan Bintara Muda Nor Rahiza Anuar (Depot Bekalan Armada Barat).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!