Lima prosedur daftar nikah di Malaysia

Warganegara Malaysia yang berkahwin di luar negara perlu melakukan lima prosedur undang-undang bagi mendapatkan pengesahan dan sijil nikah sah. Foto hiasan, gambar kecil: Khairul Fahmi
Warganegara Malaysia yang berkahwin di luar negara perlu melakukan lima prosedur undang-undang bagi mendapatkan pengesahan dan sijil nikah sah. Foto hiasan, gambar kecil: Khairul Fahmi
A
A
A

SHAH ALAM - Warganegara Malaysia yang melangsungkan perkahwinan di luar negara perlu melakukan lima prosedur undang-undang bagi mendapatkan pengesahan dan sijil nikah sah.

Peguam Syarie di Fahmi Ramli & Co, Khairul Fahmi Ramli berkata, proses pertama adalah pasangan terbabit perlu melengkapkan dokumentasi seperti sijil nikah dan konsulat dari negara terlibat.

Katanya, kedua-dua dokumen itu penting untuk membuka kes pengesahan nikah.

“Bukti lain seperti gambar, video nikah, salinan dokumen perjalanan atau pas sempadan juga perlu dilampirkan kepada mahkamah.

“Bagi lelaki yang sudah beristeri wajib dilampirkan salinan sijil nikah isteri sedia ada dan sijil lahir anak-anak sekiranya ada.

“Dokumen berkenaan sangat diperlukan dalam proses memfailkan pengesahan pernikahan," ujarnya.

Mengulas lanjut, Khairul Fahmi berkata, bagi proses kedua, pasangan terbabit wajar menyerah diri ke pejabat agama.

“Bagi sesetengah negeri, pasangan nikah tanpa kebenaran diwajibkan menjalani proses siasatan di jabatan itu terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

“Ada negeri yang tidak melaksanakan prosedur berkenaan, tetapi ada negeri yang perlu lakukan sedemikian kerana mereka akan mengeluarkan satu surat kebenaran failkan kes di mahkamah,” katanya.

Jelas beliau, proses ketiga memerlukan lelaki bujang atau duda yang berkahwin di luar negara tanpa kebenaran wajib memfailkan kes di mahkamah rendah syariah.

Bagaimanapun katanya berbeza di Kedah apabila pengesahan nikah untuk lelaki bujang dijalankan di pejabat agama melainkan ada isu yang perlu dibawa ke mahkamah.

“Bagi lelaki yang sudah beristeri, maka kes pengesahan ini mesti difailkan di mahkamah tinggi syariah sebagai kes pengesahan nikah poligami,” katanya.

Bagi proses keempat pula beliau berkata, selepas pernikahan disahkan, pasangan dalam tempoh tertentu akan mendapat satu saman kes jenayah syariah bagi kesalahan nikah dan poligami tanpa kebenaran.

“Pasangan perlu hadir ke mahkamah syariah dan bersedia untuk membayar denda,” katanya.

Jelas Khairul Fahmi, selepas semua perkara diselesaikan, pasangan akan mendapat sijil nikah daripada Jabatan Agama Islam Negeri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!