MyRide dilancar, beri alternatif kepada pemandu e-hailing

Azleen bergambar bersama pemandu MyRide berdaftar pada majlis pelancaran aplikasi e-hailing itu peringkat nasional pada Rabu.
Azleen bergambar bersama pemandu MyRide berdaftar pada majlis pelancaran aplikasi e-hailing itu peringkat nasional pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Aplikasi e-hailing lokal, MyRide dilancarkan secara rasmi pada Rabu sekali gus memberikan lebih banyak alternatif kepada pemandu dan penumpang perkhidmatan e-hailing di negara ini.

Ketua Pegawai Operasi MyRide, Azleen Othman berkata, lebih 1,000 individu di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak telah mendaftar sebagai pemandu sehingga sekarang sejak aplikasi berkenaan diperkenalkan pada 15 April lalu.

Katanya, apa yang unik, caj penggunaan platform MyRide yang dikenakan kepada pemandu berdaftar adalah rendah iaitu tidak sampai satu peratus yang membolehkan pemandu meraih pendapatan lebih.

"Hanya caj minimum dikenakan kepada pemandu kerana kami perkenalkan kaedah langganan mengikut tempoh harian dan bulanan kepada pemandu.

"Jadi pemandu boleh dapatkan pendapatan yang dimahukan dan boleh urus sendiri waktu kerja mereka. Menerusi kaedah langganan ini juga harga tambang lebih murah," katanya.

Azleen (kiri) yang diiringi Rahmat menyempurnakan gimik pelancaran nasional MyRide di ibu negara pada Rabu.
Azleen (kiri) yang diiringi Rahmat menyempurnakan gimik pelancaran nasional MyRide di ibu negara pada Rabu.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pelancaran nasional MyRide di ibu negara.

Hadir sama, Pengerusi E-Hailing FM, Datuk Rahmat Mahmud; Ketua Aktivis Gabungan e-Hailing Malaysia, Jose Rizal dan Pegawai Operasi MyRide, Adam Rizal.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Azleen menjelaskan, dengan pendapatan lebih tinggi yang diterima pemandu menerusi kaedah langganan tersebut, ia boleh digunakan untuk penyelenggaraan kenderaan dan menampung kelangsungan hidup mereka.

Kata beliau, ia kerana kebanyakan pemandu MyRide merupakan golongan B40 dan ada antara mereka sebelum ini terpaksa bekerja hingga 14 jam sehari.

"Kami sasarkan menjelang hujung tahun ini, jumlah pemandu yang berdaftar di bawah MyRide meningkat kepada 10,000 orang dan kami optimis ia mampu dicapai berdasarkan perkembangan pendaftaran semasa yang menggalakkan.

"Setakat ini kawasan yang merekodkan pemandu MyRide paling aktif adalah di Melaka dan Muar, Johor. Kami juga dah ada strategi untuk kembangkan perkhidmatan ini di Lembah Klang," ujarnya.

Azleen menambah, MyRide juga telah menandatangani perjanjian tanpa pendedahan (NDA) dengan Touch 'n Go untuk memudahkan proses pembayaran tambang perkhidmatan e-hailing mereka.

"Selain itu, ada sebuah lagi syarikat besar yang mahu jalinkan kerjasama dengan kita yang akan memberi manfaat kepada semua pemandu berdaftar," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!