Anwar umum pelaburan RM3 bilion KWAP melalui Dana Pemacu

Anwar ketika berucap dan melancarkan GFIEF di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa.
Anwar ketika berucap dan melancarkan GFIEF di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) bakal melabur sebanyak RM3 bilion melalui Dana Pemacu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ia menggunakan 50 peratus daripada keseluruhan dana iaitu RM6 bilion dan dilaksanakan dalam bentuk pelaburan patuh syariah bagi menyokong ekosistem berkenaan.

Menurut beliau, Dana Pemacu akan menjadi strategi pelaburan ekuiti swasta yang berfokus di negara ini dengan menyasarkan sektor utama termasuk keselamatan makanan, pendidikan, ekonomi digital, penjagaan kesihatan dan perkara lain di bawah Kerangka Kerja Ekonomi Madani.

"Pelancaran Dana Pemacu oleh KWAP selaras dengan pembaharuan yang lebih meluas oleh kerajaan.

“Ia bagi mengoptimumkan dana Syarikat Pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk memacu pelaburan ke dalam syarikat di Malaysia supaya berkembang pesat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Forum Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) bertempat di Pusat Konvensyen di sini pada Selasa.

Hadir sama, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour; Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin; Pengerusi Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC), Tan Sri Azman Mokhtar, delegasi antarabangsa dan pengamal media.

Forum antarabangsa anjuran Kementerian Kewangan dan BNM yang berlangsung selama dua hari dari 28 hingga 29 Mei ini sebagai kesinambungan kepada Konferens Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam ke-15 pada Februari lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed memaklumkan, pihaknya percaya bahawa Dana Pemacu memainkan peranan penting untuk pertumbuhan dan kemajuan negara.

Tambah beliau, perancangan KWAP mahu menggunakan pelaburan terbabit dengan menghasilkan bakat tempatan dan pengurus dana antarabangsa yang berpotensi menjadi pemangkin kepada pasaran swasta serta ekosistem pelaburan di negara ini.

“Inisiatif ini akan membawa kepada kepakaran kepada pasaran tempatan dan memacu pemindahan pengetahuan serta rangkaian industri menerusi bakat tempatan yang digilap.

"Melalui pelaburan modal yang baharu dilancarkan, kami komited untuk menyokong lebih banyak syarikat berskala domestik dan antarabangsa melalui kedua-dua kaedah konvensional serta patuh syariah,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!