IHR, perjanjian pandemik: Malaysia pegang prinsip kesaksamaan, solidariti

Anwar berucap sempena Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-77 di Geneva melalui video yang dikongsikan Kementerian Kesihatan.
Anwar berucap sempena Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-77 di Geneva melalui video yang dikongsikan Kementerian Kesihatan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia berpegang kepada prinsip kesaksamaan dan solidariti untuk dilaksanakan dalam semakan Peraturan-Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) serta perjanjian pandemik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengakui berdepan cabaran dalam mencapai konsensus mengenai perjanjian pandemik dan pindaan terhadap IHR, beliau berkata, langkah mengutamakan hak kepada kesihatan memerlukan usaha kolektif bagi menangani ketaksamaan dan meningkatkan kesiapsiagaan untuk kecemasan masa depan.

"Saya ingin tegaskan bahawa kesaksamaan perlu menyokong sebarang perjanjian ke arah penambahbaikan lebih bermakna dalam usaha mencegah pandemik, kesiapsiagaan dan respons secara kolektif. Kolaborasi menjadi kunci untuk melangkah ke hadapan dan mengimbangi sumber dengan matlamat kesihatan awam global adalah penting.

"Hanya selepas itu barulah kita boleh menangani jurang dan ketaksamaan dalam usaha mencegah serta memberikan tindak balas terhadap pandemik dan kecemasan kesihatan lain sambil bersama-sama melindungi hak kedaulatan negara. Saya yakin kita mampu melakukan perubahan transformatif dengan hasil yang berkekalan dan menjadi legasi,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap sempena Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-77 di Geneva hari ini melalui video yang dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan.

Beliau turut berkongsi komitmen kerajaan Malaysia untuk memastikan setiap individu tanpa mengira latar belakang atau kedudukan sosioekonomi mempunyai akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti dan penting sepanjang hidup mereka.

Sementara itu, ketika membicarakan hak sejagat kepada kesihatan, Anwar turut menggesa komuniti antarabangsa mengambil lebih banyak tindakan untuk menghentikan kekejaman dan memastikan akauntabiliti terus bergerak susulan malapetaka kemanusiaan yang dihadapi oleh rakyat Palestin di Gaza.

"Mereka bukan hanya berdepan kebuluran, malnutrisi dan penyakit tetapi juga hospital mereka telah dibom oleh rejim Israel manakala pekerja perubatan dan sukarelawan kemanusiaan dibunuh secara rambang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 24 Mei lepas, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad telah menegaskan bahawa penglibatan Malaysia dalam dua platform rundingan antarabangsa adalah bagi melindungi kepentingan kesihatan awam negara.

Beliau merujuk kepada langkah Badan Perundingan Antara Kerajaan (INB) yang menggubal instrumen antarabangsa dikenali sebagai Perjanjian Pandemik dan Kumpulan Kerja mengenai Pindaan kepada IHR (WGIHR) kerana melakukan semakan terhadap IHR 2005 secara bersasar. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!