Permohonan subsidi diesel Budi Madani RM200 sebulan dibuka mulai esok

Permohonan bagi program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) melibatkan pemilik kenderaan diesel persendirian, petani dan pekebun kecil komoditi akan dibuka bermula pada Selasa. Gambar hiasan
Permohonan bagi program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) melibatkan pemilik kenderaan diesel persendirian, petani dan pekebun kecil komoditi akan dibuka bermula pada Selasa. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Permohonan bagi program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) melibatkan pemilik kenderaan diesel persendirian, petani dan pekebun kecil komoditi akan dibuka bermula pada Selasa.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penerima yang layak akan menerima Budi Madani sebanyak RM200 sebulan seiring dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Amir Hamzah
Amir Hamzah

Menurutnya, pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak boleh membuat permohonan itu di bawah kategori Budi Individu manakala petani dan pekebun kecil pula Budi Agri-Komoditi.

Beliau berkata, kriteria kelayakan Budi Individu membabitkan pemohon warganegara Malaysia, memiliki kenderaan diesel persendirian yang berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun, cukai jalan aktif serta pendapatan tahunan individu atau pasangan RM100,000 ke bawah.

“Setiap permohonan yang diterima akan disemak silang dengan data di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bagi mengecualikan pemilik kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun dan individu berpendapatan tinggi.

“Selain itu, bagi kelayakan Budi Agri-Komoditi, pemohon mesti berdaftar sebagai petani atau pekebun kecil dengan agensi berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atau Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

“Pemohon di bawah kategori ini juga perlu aktif dengan hasil jualan pertanian tahunan antara RM50,000 dan RM300,000,” katanya pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi ke atas bahan api diesel yang hanya akan melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia.

Katanya, keputusan itu tidak melibatkan pengguna Sabah dan Sarawak kerana penduduk di sana kebanyakannya menggunakan diesel untuk urusan seharian.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, permohonan boleh dibuat secara dalam talian di laman web https://budimadani.gov.my/ yang akan dibuka sepanjang tahun.

“Bagi permohonan yang dibuat dan diluluskan sebelum 3 Jun, pemohon akan menerima Budi Madani pertama menjelang pertengahan Jun dan bantuan seterusnya akan disalurkan secara bulanan.

“Bagi permohonan yang diluluskan selepas 3 Jun pula akan menerima Budi Madani pertama dalam tempoh dua minggu dan seterusnya secara bulanan.

“Ia akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima setiap bulan manakala penerima tanpa akaun bank boleh menuntuntnya secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh Semenanjung Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata, program tersebut melengkapi usaha sedia ada kerajaan dalam menyasarkan subsidi diesel melalui sistem MySubsidi Diesel yang dikendalikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Ujar beliau, setakat ini, hampir 90,000 ‘Fleet Card’ dikeluarkan kepada syarikat di bawah sektor pengangkutan awam dan barangan darat.

“Kad ini membolehkan syarikat logistik yang layak untuk membeli minyak diesel bersubsidi di stesen minyak bagi memastikan kesan kos yang minimum kepada rantaian nilai logistik serta bekalan dan secara langsung mengurangkan risiko kenaikan harga barangan.

“Dengan pelaksanaan ini, kerajaan telah memperluas bantuan tunai kepada individu, petani dan pekebun kecil komoditi menjelang pelaksanaan penyasaran subsidi diesel,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!