Program susu sekolah KPM dapat sambutan

No Image Caption
A
A
A
MELAKA - Syarikat pembekal susu, Farm Fresh Berhad (Farm Fresh) menganjurkan Majlis Sambutan Karnival Hari Susu Sekolah Sedunia Peringkat Kebangsaan sempena Program Susu Sekolah Sesi 2023/2024.

Karnival ini diadakan bertujuan untuk meraikan Hari Susu Sekolah Sedunia disamping penyampaian tujuh kategori anugerah yang ditaja oleh Farm Fresh sebagai Program Tanggungjawab Sosial (CSR) bagi meraikan sekolah dan anak-anak murid di seluruh negara.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah meneruskan Program Susu Sekolah (PSS) di dalam Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bermula Mei 2023 sehingga Jun 2024 secara tender terbuka kepada pengilang-pengilang susu tempatan untuk membekalkan susu terus kepada sekolah dan murid-murid sekolah rendah penerima bantuan di seluruh negara.

Penerima bantuan ini terdiri daripada murid-murid dari keluarga miskin tegar, Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) dan murid di sekolah Asli. Susu Sekolah (PSS) telah dilaksanakan mulai tahun 1983 dan berterusan sehingga sekarang.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata, objektif KPM dalam program ini adalah untuk memupuk amalan pengambilan susu atau produk tenusu dalam pemakanan murid-murid terutamanya dari kalangan keluarga berpendapatan rendah.

“Program ini diharapkan akan menjadi amalan murid sehingga mereka dewasa agar kita dapat membentuk generasi yang sihat dan cergas.

“Selain memupuk amalan minum susu, program ini juga merupakan usaha pihak KPM bersama-sama dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dalam memastikan murid-murid di sekolah rendah mendapat nutrisi yang seimbang dan lengkap bagi setiap hari persekolahan.

“Atas dasar ini dan sokongan pihak KKM, program ini telah diperkasakan dan diteruskan pada 2024,” katanya.

Farm Fresh selaku pembekal terbesar perlu membekalkan susu kepada hampir 355,000 murid-murid, 3,037 buah sekolah dan melibatkan perbekalan keseluruhan melibatkan 63 juta kotak susu untuk perbekalan sepanjang program ini (sehingga Mei 2024).
Artikel Berkaitan:


No Image Caption



Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh, Azmi Zainal, berkata, Farm Fresh sangat berbangga apabila sekali lagi menjadi pengeluar tenusu yang menyokong Program Susu Sekolah tahun ni.

“Program ini mensasarkan kebaikan nutrisi kepada murid-murid di bawah RMT bagi memerangi masalah malnutrisi dan bantut bagi menyokong tumbesaran kanak-kanak yang lebih baik.

“Dalam pada kita menjaga nutrisi untuk anak-anak, pada masa yang sama, rezeki ini turut dikongsi untuk membantu usahawan tempatan di bawah program Home Dealers kami yang menghantar susu ke sekolah dengan penuh dedikasi sehingga ke seluruh Malaysia,”katanya.

Menurutnya, Farm Fresh telah menganjurkan pelbagai aktiviti yang merangkumi pelbagai aspek seperti kesenian, melalui pertandingan Choral Speaking dan Pertandingan Melukis dan Mewarna.

“Farm Fresh turut menyentuh elemen ESG (Environmental, Social and Governance) melalui pertandingan Farm in School dan Pertandingan Kereta Kitar Semula Grandprix Farm Fresh yang membolehkan pelajar membina kereta lumba mini menggunakan bekas susu terpakai.

“Yang paling penting, Farm Fresh telah membina 10 buah Pusat Pencegahan Kemiskinan Multidimensi yang membolehkan murid-murid mengikuti program tuisyen dan pelbagai aktiviti kemahiran hidup yang lain selama tiga hari seminggu,”katanya.

Azmi berkata, inisiatif untuk berkempen mengenai amalan ‘Green Environment’ juga perlu dilaksanakan oleh syarikat dalam memelihara alam sekitar.

“Ia suatu usaha bersama pihak swasta dan kerajaan bagi memberikan manfaat kesihatan kepada murid dalam masa yang sama memberikan input positif kepada mereka,”katanya.

Farm Fresh telah bekerjasama dengan Tetra Pak Malaysia, syarikat pembungkusan kotak susu yang digunakan oleh Farm Fresh untuk menjalankan kempen kitar semula di sekolah-sekolah dengan menyediakan tong kitar semula khas bagi menggalakkan amalan kitar semula di sekolah-sekolah terpilih.

Tetra Pak turut menjalin kolaborasi bersama Farm Fresh dengan menganjurkan pertandingan Farm in School peringkat Kebangsaan dengan menilai kreativiti sekolah mewujudkan taman menggunakan bahan kitar semula serta penerapan ilmu pertanian di kalangan murid-murid ke arah mewujudkan kecintaan kepada alam sekitar.

Pengarah Kelestarian ASEAN, Tetra Pak, Terrynz Tan, berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan Farm Fresh, membantu pelajar meningkatkan kesedaran tentang kepentingan nutrisi untuk tumbesaran dan menyemai amalan kitar semula sejak usia yang muda untuk gaya hidup yang mampan.

“Kerjasama ini juga sejajar dengan cita-cita kerajaan Malaysia untuk Ekonomi Kitaran. Melalui inisiatif ini, kami berhasrat untuk menyumbang kepada membina masa depan yang lebih cerah dan lebih mampan untuk negara kita.”

Tahun 2024 merupakan tahun bersejarah bagi syarikat Farm Fresh kerana telah

menganjurkan pelbagai CSR di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia seluruh negara dengan nilai CSR lebih RM2.3 juta ringgit.

Karnival Hari Susu Sekolah Peringkat Kebangsaan di Melaka ini turut dimeriahkan dengan pertandingan akhir untuk Senamrobik, Choral Speaking, Pertandingan Kereta Kitar Semula Grandprix Farm Fresh dan Pertandingan Melukis dan Mewarna dan penyampaian hadiah untuk tujuh anugerah dengan jumlah hadiah bernilai RM27,770.