Lebih 700,000 murid terima manfaat Program Susu Sekolah

Fadhlina (tengah) Foto Bernama
Fadhlina (tengah) Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Program Susu Sekolah (PSS) yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama rakan sinergi termasuk syarikat pengeluar produk tenusu Farm Fresh Bhd memberi manfaat kepada 753,054 murid melibatkan 7,398 sekolah rendah di seluruh negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, PSS yang dilaksana di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT), bertujuan memerangi dan menangani isu kemiskinan multidimensi khususnya berkait rapat dengan isu malnutrisi dalam kalangan murid daripada keluarga B40.

"Setiap kanak-kanak berhak menerima nutrisi pemakanan yang seimbang. Kanak-kanak yang mendapat makanan berkhasiat akan membesar dengan sihat dan berupaya membentuk potensi diri sepenuhnya.

"Justeru, KPM sentiasa memberikan perhatian yang serius berhubung isu malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak sekolah dan antara inisiatif KPM ialah RMT, Program Hidangan Berkhasiat (HiTS) dan PSS," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Karnival Hari Susu Sekolah Sedunia Peringkat Kebangsaan di sini pada Sabtu.

Turut hadir Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Shafruddin Ali Hussin serta Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh, Azmi Zainal.

Fadhlina juga berkata,objektif utama pelaksanaan PSS ialah memupuk amalan pengambilan susu atau produk tenusu dalam pemakanan murid terutama daripada keluarga berpendapatan rendah sekali gus membentuk generasi sihat dan cergas.

Beliau berkata, program advokasi berkaitan kepentingan pengambilan makanan seimbang dalam kalangan murid seperti penganjuran Karnival Hari Susu Sekolah adalah penting dan perlu diteruskan bagi meningkatkan kesedaran berkaitan isu itu.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Fadhlina turut menyampaikan beberapa anugerah antaranya bagi Pertandingan Susu Subsidi Peringkat Kebangsaan serta Pengurusan RMT dan PSS Terbaik Peringkat Kebangsaan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!