12 individu terlibat sindiket 'Love Scam', judi dalam talian

Ramli menunjukkan barangan yang dirampas daripada sindiket 'Love Scam' dan judi dalam talian selepas sidang akhbar pada Isnin.
Ramli menunjukkan barangan yang dirampas daripada sindiket 'Love Scam' dan judi dalam talian selepas sidang akhbar pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 12 individu termasuk seorang wanita warga tempatan ditahan dalam Ops Khas 30/24 kerana disyaki terlibat dengan sindiket 'Love Scam' dan judi dalam talian pada 16 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua individu berusia 18 hingga 43 tahun itu ditahan di sebuah kediaman di ibu kota.

"Kita turut merampas sembilan komputer riba, 33 telefon bimbit, seutas rantai manik, lima cincin, enam beg silang, seutas rantai leher, sejumlah mata wang, sebuah router dan modem serta dua jam tangan mewah," katanya ketika sidang akhbar pada Isnin.

Ramli berkata, hasil pemeriksaan dan penelitian barang kes mendapati sindiket terbabit telah beroperasi sejak April lalu.

"Sindiket penipuan itu akan mencipta akaun media sosial palsu melalui Facebook serta Instagram dan seterusnya berkenalan dengan mangsa rakyat Amerika Syarikat," katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian akan ditawarkan pautan judi secara dalam talian.

"Mangsa yang bermain judi menggunakan pautan tersebut akan kehilangan kesemua wang yang dipertaruhkan," katanya.

Menurutnya, kesemua individu yang ditahan berperanan sebagai agen pusat panggilan dan menerima gaji sebanyak RM2,500 sebulan serta empat peratus komisen daripada jumlah kerugian yang dialami mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan lanjut di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan sedang dijalankan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!