[VIDEO] MB Pahang sokong permohonan Najib isu tahanan rumah

A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar Pahang memfailkan afidavit, menyokong permohonan Datuk Seri Najib Razak, untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan perintah tambahan dikatakan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16 supaya bekas perdana menteri itu, menjalani baki enam tahun penjara di bawah tahanan di rumah.

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengikrarkan perkara itu menerusi firma guaman, Tetuan Shafee & Co, di Mahkamah Tinggi, pada Selasa minggu lalu.

Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO ini menyatakan tidak mempunyai salinan Titah Adendum bertarikh 29 Januari, kerana isu kerahsiaan dan kewajaran, memandangkan pada masa itu titah berkenaan belum dilaksanakan atau dikuatkuasakan.

Menerusi tujuh muka surat afidavit yang diperoleh media pada Isnin, Wan Rosdy, 66, berkata, perkara berkenaan diketahui selepas dimaklumkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 30 Januari lalu.

Menurutnya, kejadian itu diketahui ketika mesyuarat di kediaman Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Country Heights Kajang.

Najib (tengah) hadir bagi perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi pada Khamis. Foto Bernama
Najib (tengah) hadir bagi perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Tinggi pada Khamis. Foto Bernama

Katanya, perjumpaan berkenaan turut dihadiri Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Saya menyokong permohonan Datuk Seri Najib malah saya beritahu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid mengenai perintah tambahan ini.

“Beliau (Ahmad Zahid) turut menyatakan perkara sama yang dimaklumkan Tengku Zafrul pada hari yang sama,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu.

Beliau berkata, Tengku Zafrul turut memberitahu bahawa, Agong telah mengeluarkan keputusan permohonan pengampunan, iaitu mengurangkan perintah penjara sebanyak 50 peratus dan hukuman denda pula kepada RM50 juta.

Menurutnya, Baginda juga dikatakan telah mengeluarkan satu lagi Perintah Adendum yang memerintahkan supaya Najib selaku pemohon menjalani hukuman penjara, di kediamannya.

Sementara itu, surat yang ditandatangani Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan bertarikh 23 Mei, Jabatan Peguam Negara membantah afidavit diikrarkan Wan Rosdy.

Artikel Berkaitan:


Menurutnya, Najib mempunyai tanggungjawab sebagaimana Aturan 53 Kaedah 3(2) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk memastikan afidavit yang mengesahkan fakta menyokong permohonan semakan kehakiman mendedahkan kesemua fakta material dan butiran penting difailkan dari awal permohonan dibuat.

“Permohonan itu dibuat terlampau lewat, iaitu setelah pihak pemohon dan Peguam Negara memfailkan hujahan bertulis dan lisan, pada 17 April lalu.

“Ia juga mengambil kira bahawa mahkamah menetapkan tarikh keputusan bagi permohonan kebenaran semakan kehakiman ini pada 5 Jun ini,” katanya.

Najib, 71, memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan berkenaan di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 April, menerusi Tetuan Shafee & Co.

Najib selaku pemohon menamakan Menteri Dalam Negeri; Komisioner Jeneral Penjara; Peguam Negara; Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi); Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM, dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketujuh.

Dalam notis permohonan itu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah mandamus mengarahkan sama ada semua responden atau salah seorang daripada mereka menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan bertarikh 29 Januari.

Pemohon juga memohon perintah mandamus bahawa jika dekri tambahan itu wujud, semua atau satu daripada responden mesti menguatkuasakannya serta merta dengan memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur, untuk menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan di rumah.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Beliau kemudiannya memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!