Perkasa, pertahankan warisan silat simbol semangat, penyatuan Melayu

Tengku Kamarulzaman (dua dari kanan) memakaikan sandang kepada salah seorang penerima pada Program Pemakaian Sandang Penjawatan dan Kehormat PSSGM Pahang di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah pada malam Ahad.

A
A
A

PEKAN - Seni bela diri silat perlu terus diperkasakan kerana ia antara simbol semangat, penyatuan dan perpaduan masyarakat Melayu.

Penaung Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) Pahang, Tengku Datuk Seri Kamarulzaman Sir Sultan Abu Bakar berkata, silat bukan sahaja mengajar ahli-ahlinya mengenai seni mempertahankan diri malah menekankan kepada pembinaan masyarakat yang memiliki ketahanan dalaman, jati diri dan berdisiplin.

Menurutnya, seni bela diri Melayu itu juga dapat membina kekuatan semangat, sahsiah diri yang tinggi dan melahirkan masyarakat setia serta cintakan tanah air.

Tengku Kamarulzaman memakaikan sandang kehormat kepada Fadzli pada Program Pemakaian Sandang Penjawatan dan Kehormat PSSGM Pahang di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah pada malam Ahad.
Tengku Kamarulzaman memakaikan sandang kehormat kepada Fadzli pada Program Pemakaian Sandang Penjawatan dan Kehormat PSSGM Pahang di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah pada malam Ahad.

"Silat adalah Melayu, Melayu adalah silat tidak akan terpisah.

"Jika ia tidak dipertahan dan disemarakkan untuk generasi baharu, seni bela diri ini akan pupus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Pemakaian Sandang Penjawatan dan Kehormat PSSGM Pahang di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah sini pada malam Ahad.

Turut hadir, Yang Di-Pertua PSSGM,Leftenan Jeneral (Bersara) Datuk Pahlawan Mohd Razif Idris dan Yang Di-Pertua PSSGM Pahang, Rahim Masrom.

Artikel Berkaitan:

Tengku Kamarulzaman berkata, PSSGM Pahang berhasrat meningkatkan lebih ramai ahli khususnya di Pahang dalam masa terdekat.

"Kita mempunyai lebih 1,000 ahli berdaftar dan 19 gelanggang di seluruh daerah.

"Sasaran kita untuk meningkatkannya kepada lebih 2,000 ahli menjelang penghujung tahun ini.

"Peranan aktif para jurulatih dan guru-guru silat dituntut bagi menarik dan mendaftar ahli baru terutama dalam kalangan golongan muda," katanya.

Sementara itu katanya, Program Pemakaian Sandang Perjawatan dan Kehormat PSSGM Pahang itu adalah yang kedua selepas program pertama pada 2014.

Tengku Kamarulzaman (lima dari kiri) bersama sebahagian penerima sandang kehormat pada Program Pemakaian Sandang Penjawatan dan Kehormat PSSGM Pahang di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah pada malam Ahad.

"Program ini berjaya menghimpunkan lebih 200 ahli dari seluruh daerah dan diisi dengan pelbagai aktiviti sejak pagi antaranya perasmian majlis perlimau tapak dan seni PSSGM cawangan Pekan, penyerahan bengkung PSSGM dan kemuncaknya program penyampaian sandang perjawatan serta kehormat malam ini (Ahad)," katanya.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri, Fadzli Mohamad Kamal antara 150 penerima sandang yang dipakaikan Penaung PSSGM Pahang, TengkuKamarulzaman.

Turut hadir menerima sandang kehormat PSSGM pada majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini,Mohd Shahrim Md Zain dan ADUN Kemayan, Khaizulnizam Mohamad Zuldin.

Daripada keseluruhan penerima, 48 menerima sandang kehormat dan 92 menerima pemakaian sandang perjawatan.

Penerima sandang penjawatan dan kehormat bergambar selepas selesai Program Pemakaian Sandang Penjawatan dan Kehormat PSSGM Pahang di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah sini pada malam Ahad.
Penerima sandang penjawatan dan kehormat bergambar selepas selesai Program Pemakaian Sandang Penjawatan dan Kehormat PSSGM Pahang di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah sini pada malam Ahad.

Sementara itu, Fadzli berkata, kerajaan negeri sedia untuk membantu dan menyokong aktiviti pertubuhan silat termasuk PSSGM terutama ke arah penyatuan orang Melayu.

Menurutnya, semangat yang ditunjukkan ahli dalam mempertahankan seni bela diri itu luar biasa.

"Inisiatif itu perlu diteruskan agar silat sebagai seni warisan dan simbol kesatuan Melayu terus dipertahankan,"katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!