Axelsen sekat impian juara Zii Jia

Zii Jia muncul naib juara Malaysia Masters setelah tewas kepada pemain Denmark dalam aksi final di Bukit Jalil pada Ahad. Foto Agensi
Zii Jia muncul naib juara Malaysia Masters setelah tewas kepada pemain Denmark dalam aksi final di Bukit Jalil pada Ahad. Foto Agensi
A
A
A

HASRAT pemain perseorangan profesional, Lee Zii Jia untuk menghadiahkan kejuaraan buat peminat badminton negara belum kesampaian.

Ia selepas pemain berstatus nombor 10 dunia itu kalah kepada jaguh Denmark, Viktor Axelsen dalam pertembungan tiga set pada aksi final Malaysia Masters 2024 di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.

Zii Jia yang kecundang 6-21 pada set pertama, bangkit pada permainan berikutnya 22-20 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Bagaimanapun momentum positif tersebut gagal diteruskan apabila Zii Jia terpaksa akur dengan kehebatan pemain nombor satu dunia itu setelah tewas 13-21 dalam tempoh 63 minit permainan.

Meskipun terlepas gelaran juara, namun saingan akhir tersebut memberi pengalaman berharga buat pemain berusia 26 tahun itu.

"Saya melalui 10 perlawanan dalam tempoh dua minggu. Terbuka Thailand minggu lalu dan Malaysia Masters.

"Banyak saya belajar dari dua kejohanan ini. Lawan seorang pemain yang berpengalaman, saya belum berpuas hati dengan corak permainan, namun saya berada di landasan terbaik untuk menuju Sukan Olimpik Paris Julai depan," katanya ketika ditemui media sejurus tamat permainan.

Kemenangan itu juga membolehkan Axelsen meraih gelaran pertama pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh penyertaan dalam Kejohanan Terbuka Singapura minggu depan dan seterusnya Terbuka Indonesia, Zii Jia mengakui perkara tersebut belum diputuskan dan akan berbincang dengan jurulatihnya, Wong Tat Meng.

"Belum tahu lagi akan berehat sehari dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan nanti," katanya.

Kejohanan bertaraf Super 500 itu menawarkan AS$420,000 (RM1.979 juta) secara keseluruhan dan Axelsen yang muncul juara membawa pulang AS$31,500 (RM148,434), manakala Zii Jia meraih AS$15,960 (RM75,206).

Zii Jia pada Ahad lalu muncul juara Terbuka Thailand di Bangkok selepas menundukkan pemain Hong Kong, Ng Ka Long secara straight set.

Bergelar sebagai juara kejohanan tersebut yang juga berstatus Super 500 membolehkan pemain yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu meraih AS$31,500 (RM148,434).

Kali terakhir perseorangan lelaki negara mengungguli Malaysia Masters ialah menerusi Datuk Lee Chong Wei pada edisi 2016.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!