KPKT sasar 70 peratus premis di 17 PPR laksana program KOSIS menjelang 2025

Aiman Athirah menyempurnakan acara penanaman pokok pada Program PKKB: Karnival Komuniti PPRS Pinggiran Putra 3 di sini pada Ahad.
Aiman Athirah menyempurnakan acara penanaman pokok pada Program PKKB: Karnival Komuniti PPRS Pinggiran Putra 3 di sini pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menyasarkan 70 peratus premis di 17 Projek Perumahan Rakyat (PPR) melaksanakan Program Komuniti Sifar Sisa (KOSIS) menjelang tahun 2025.

Timbalan Menteri KPKT, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, sasaran itu mampu dicapai setelah mengambil kira peratusan semasa yang telah mencapai 60 peratus.

Aiman Athirah merasmikan sudut 3R sempena Program PKKB: Karnival Komuniti PPRS Pinggiran Putra 3 di sini pada Ahad.
Aiman Athirah merasmikan sudut 3R sempena Program PKKB: Karnival Komuniti PPRS Pinggiran Putra 3 di sini pada Ahad.

Menurutnya, pelaksanaan inisiatif KOSIS yang inklusif di PPR bertujuan untuk mudahkan dan membantu komuniti menjalankan penukaran barangan kitar semula kepada tunai bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi kitaran.

"Inisiatif itu seiring dengan kadar sasaran kitar semula sebanyak 40 peratus yang ditetapkan KPKT menjelang tahun hadapan.

"Daripada lebih 50 PPR seluruh negara hanya 17 PPR melaksanakan KOSIS setakat ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Karnival Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB): Karnival Komuniti Perumahan Rakyat Disewa (PPRS) Pinggiran Putra 3 di sini pada Ahad.

Aiman Athirah berkata, Impak pelaksanaan KOSIS di 17 PPR dalam tempoh 2019 hingga tahun lalu merekodkan jumlah kutipan sisa kitar semula lebih 461,685 kilogram (kg) dengan nilai RM138,502 dalam tempoh itu.

Artikel Berkaitan:

"Kutipan minyak masak terpakai pula sebanyak 47,026 kg bernilai RM117,558.

"Nilai keseluruhan sisa kitar semula dan minyak masak terpakai RM256,060 manakala jumlah sisa makanan terkumpul, 38,216 kg," katanya.

No Image Caption

Tambah beliau, KPKT dalam perancangan untuk memperluaskan inisiatif KOSIS itu ke PPR lain di seluruh negara.

Sebelum itu, Aiman Athirah dalam ucapannya berkata, KOSIS ditubuhkan bagi memberi ruang dan peluang kepada komuniti untuk terlibat sama dalam menguruskan aktiviti kitar semula.

Tambahnya, matlamat itu selaras dengan Dasar Komuniti Negara memberdaya komuniti setempat supaya terlibat secara aktif dalam usaha penyenggaraan dan pengurusan harta awam dan harta bersama.

"Ia juga bertujuan membangunkan komuniti secara inklusif bagi mencapai kesejahteraan hidup dan pembangunan mampan.

"Justeru, KPKT dan SWCorp telah mengatur hala tuju program KOSIS untuk meningkatkan penglibatan dan keterlibatan komuniti setempat dalam menjaga dan menguruskan pusat KOSIS dengan lebih berkesan," katanya.

Aiman Athirah menyampaikan bantuan bakul Rahmah kepada penerima sempena Program PKKB: Karnival Komuniti PPRS Pinggiran Putra 3 pada Ahad.
Aiman Athirah menyampaikan bantuan bakul Rahmah kepada penerima sempena Program PKKB: Karnival Komuniti PPRS Pinggiran Putra 3 pada Ahad.

Beliau berkata, SWCorp akan menyerahkan pengurusan Pusat KOSIS kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Persatuan Penduduk setempat setelah tahap kesedaran dan penglibatan komuniti dalam aspek kitar semula ini mencapai tahap yang tinggi.

"Keputusan ini adalah langkah yang bermakna dalam memberikan kuasa kepada komuniti untuk menguruskan pusat KOSIS mengikut keperluan dan kehendak sendiri.

"Pusat KOSIS PPRS Pinggiran Putra dipilih sebagai salah satu Pusat KOSIS yang akan diserahkan pengurusannya kepada persatuan penduduk tahun ini setelah mengambil kira penglibatan penduduk dan persatuan yang aktif dalam urusan aktiviti kitar semula.

" Penyerahan pusat-pusat KOSIS lain kepada komuniti dan persatuan penduduk akan diselaraskan secara berperingkat mulai tahun ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!