PM seru generasi muda pertingkat, pertahan perpaduan

Anwar ketika hadir bagi Merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan di Angsana Johor Bahru Mall pada Sabtu. Foto Bernama
Anwar ketika hadir bagi Merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan di Angsana Johor Bahru Mall pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru golongan muda agar mempertingkat dan mempertahankan perpaduan yang selama ini dinikmati oleh negara sekali gus menjadi generasi penerus yang bermakna untuk Malaysia.

Berucap merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2024 di Angsana Johor Bahru Mall malam ini, beliau berkata, perjuangan dan jasa tokoh-tokoh terdahulu dalam mencapai kemerdekaan negara dengan menyatupadukan pelbagai kaum juga perlu sentiasa diingati.

"Tanggungjawab anak-anak muda, generasi muda, jangan anggap perkara ini satu ketentuan yang boleh diremehkan kerana negara boleh bangkit disebabkan semangat perpaduan, negara juga boleh hancur kerana perpecahan dan ketidaksefahaman perkauman," katanya.

Anwar berkata kesepaduan antara kaum adalah kekuatan negara dan untuk itu, beliau menzahirkan penghormatan serta penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia kerana sentiasa menyokong semangat perpaduan.

Turut hadir Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Berkongsi mengenai lawatan ke Qatar, Republik Kyrgyz, Kazakhstan, Uzbekistan dan Jepun baru-baru ini, Perdana Menteri berkata negara luar memuliakan Malaysia bukan semata-mata kerana ekonomi yang melonjak tetapi juga disebabkan kestabilan politik serta rakyatnya yang hidup bersatu padu.

"Sebab itu saya tekankan kepada Menteri Perpaduan dan kementerian beliau supaya memberikan penekanan serta menjelajah ke seluruh negara sehingga ke peringkat akar umbi khususnya di peringkat sekolah untuk menyuburkan lagi semangat perpaduan," katanya.

Beliau turut menyeru Kementerian Perpaduan Negara untuk memainkan peranan bagi memperkasakan kegiatan dan aktiviti rukun tetangga agar lebih progresif.

Artikel Berkaitan:

Sambutan Minggu Perpaduan anjuran Kementerian Perpaduan Negara adalah inisiatif di bawah agenda perpaduan nasional yang merangkumi tiga kluster utama iaitu Semarak Perpaduan, Semarak Kenegaraan dan Komuniti Rahmah.

Ia bermatlamat menyemarakkan semangat perpaduan selain menyebarluaskan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan terhadap kepelbagaian adat dan budaya dalam masyarakat Malaysia. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!