14 ditahan libat rampasan bernilai RM36 juta

Antara barangan dirampas susulan operasi bersepadu di sekitar Sarawak bermula 20 hingga 23 Mei lalu.
Antara barangan dirampas susulan operasi bersepadu di sekitar Sarawak bermula 20 hingga 23 Mei lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Sindiket penyeludupan di sekitar Sarawak ditumpaskan dengan rampasan bernilai RM36 juta serta tangkapan melibatkan 14 individu menerusi empat operasi bersepadu bermula 20 hingga 23 Mei lalu.

Operasi dijalankan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) turut melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan itu merangkumi Op Taring Bravo 1, Op Taring Alpha dan Op Taring Alpha 2.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Kamarudin Md Din berkata, tangkapan dijalankan melibatkan empat lelaki tempatan dan 10 lelaki warga asing serta rampasan keseluruhan bernilai RM35,945,928.20.

Beliau berkata, operasi pertama dijalankan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) bersama Pasukan Polis Marin Wilayah 5.

Kamarudin
Kamarudin

"Serbuan pertama itu berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan diesel bersubsidi dengan penahanan seorang lelaki.

"Turut dirampas pelbagai peralatan antaranya 32,000 liter minyak diesel, 32 buah tangki dan empat pam, kesemua barangan bernilai RM140,200," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, serbuan kedua turut berjaya menahan seorang lelaki selain rampasan pelbagai barangan dan peralatan bernilai RM54,093.

Artikel Berkaitan:

"Antara dirampas melibatkan 10,030 liter diesel bersubsidi, 16 tangki dan tiga unit pam minyak berserta hos dan satu unit meter digital.

"Serbuan ketiga dan keempat hasil kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (MCBA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan minuman keras, rokok dan diesel dengan pelbagai rampasan bernilai lebih RM35 juta, selain tangkapan seramai 12 individu," katanya.

Menurutnya, kesemua tindakan yang dijalankan itu melibatkan siasatan bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kastam 1967, dan Akta Imigresen 1959/63 (AKTA 155).

Dalam pada itu, Kamarudin menjelaskan, sebanyak 82 serbuan dengan rampasan sebanyak RM230,618,056.72 dijalankan pihaknya di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga 24 Mei.

"Operasi dan serbuan dijalankan itu melibatkan tangkapan seramai 185 individu atas pelbagai kegiatan penyeludupan antaranya barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan penyeludupan hidupan liar.

"PDRM sentiasa komited dalam menguat kuasa serta membanteras ketirisan negara dengan pelaksanaan operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!