Portal MY-AI pacu pembangunan, penggunaan AI negara

Mohammad Yusof meluangkan masa melihat laman web portal My-AI selepas Majlis Peluncuran Portal My-AI di MRANTI Park hari ini. Foto Bernama
Mohammad Yusof meluangkan masa melihat laman web portal My-AI selepas Majlis Peluncuran Portal My-AI di MRANTI Park hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Portal kecerdasan buatan (AI) pertama negara yang dibangunkan MIMOS Berhad, Portal MY-AI akan menjadi rujukan utama dalam bidang berkenaan melalui penyediaan akses kepada sumber pengetahuan, alatan bantuan dan program latihan terkini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, capaian portal berkenaan menjadi platform kepada sumber High-Performance Computing (HPC) untuk dimanfaatkan khususnya kalangan penyelidik, pelajar dan cendekiawan profesional dalam bidang itu.

"Dengan peluncuran Portal MY-Al ini, MOSTI berharap inovasi AI di Malaysia dapat ditingkatkan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

"Portal ini juga sebagai menyahut hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menjadi sumber rujukan utama untuk pengetahuan dan pembangunan AI di negara ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Portal MY-AI di sini hari ini.

Mohammad Yusof berkata, sebagai langkah sementara, portal ini akan menyediakan pautan kepada Penyedia Cloud Service (CSP) sedia ada bagi mana-mana pengguna yang memerlukan perkhidmatan berkenaan.

"Sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada semua pihak berkepentingan HPC akan dibentuk untuk menilai cadangan pihak yang berkelayakan mendapat akses kepada perkhidmatan awan ini bagi memastikan sumber tidak disia-siakan,” katanya.

Beliau berkata, melalui penyediaan pautan berkenaan, Portal MY-Al akan membantu membina dan mengembangkan bakat masa depan dalam bidang Al sekali gus memastikan Malaysia mempunyai tenaga kerja yang kompeten dan berdaya saing di peringkat global.

"Usaha ini juga selari dengan nilai ekonomi Madani untuk meningkatkan taraf hidup rakyat yang menyokong pertumbuhan industri berteraskan digital dan inovasi bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan di samping turut membangunkan kemahiran tenaga kerja tempatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohammad Yusof berkata, MOSTI juga sedang membangunkan Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Al (AIGE) yang akan membantu memaklumkan penggubal dasar tentang potensi risiko dan faedah teknologi Al bagi membantu mereka mencipta tadbir urus dan peraturan yang berkesan.

Orang ramai kini boleh mengakses portal berkenaan di my-ai.my. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!