42 PATI menyorok bawah kanvas cubaan menyusup keluar

Maritim Selangor menahan 42 PATI selepas dipercayai cuba menyusup keluar dari negara ini menerusi kawasan perairan di Morib, Banting, di sini, pada Khamis.
Maritim Selangor menahan 42 PATI selepas dipercayai cuba menyusup keluar dari negara ini menerusi kawasan perairan di Morib, Banting, di sini, pada Khamis.
A
A
A

KUALA LANGAT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan 42 pendatang tanpa izin (PATI) selepas dipercayai cuba menyusup keluar dari negara ini menerusi kawasan perairan di Morib, Banting dekat sini pada Khamis.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, pihaknya yang sedang melakukan rondaan Op Ehsan, Op Murni dan Op Tiris 3.0 mengesan bot nelayan terbabit kira-kira jam 1.10 petang.

"Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat 42 individu termasuk 11 wanita serta seorang bayi lelaki dipercayai warga Indonesia bersembunyi di bawah kanvas berwarna biru di dalam bot itu.

"Kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Abdul Muhaimin berkata, kesemua individu terbabit melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

"Kes turut disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

"Kesemua yang ditahan bersama bot dibawa ke jeti Ibu Pejabat Maritim Selangor untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, Maritim Malaysia akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal dari sebarang pencerobohan.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut orang ramai boleh menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Selangor di talian 013-6606652 untuk maklum balas segera," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!