Tan Jie-Ee Wei tepati ramalan mara ke separuh akhir Masters Malaysia

Tang Jie (kiri) dan Ee Wei mara ke separuh akhir Malaysia Masters selepas menewaskan rakan senegara dalam saingan suku akhir di Bukit Jalil pada Jumaat. Foto Agensi
Tang Jie (kiri) dan Ee Wei mara ke separuh akhir Malaysia Masters selepas menewaskan rakan senegara dalam saingan suku akhir di Bukit Jalil pada Jumaat. Foto Agensi
A
A
A

BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menepati ramalan apabila mara ke separuh akhir Malaysia Masters 2024 di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Kejayaan tersebut diraih selepas pilihan pertama kejohanan itu menumpaskan rakan senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing secara straight set dalam saingan suku akhir sebentar tadi.

Mereka yang sudah meraih slot Sukan Olimpik Paris 2024 ditentang sengit Kian Meng-Pei Jing sebelum menang 21-19 pada set pertama dan kemudian meneruskan rentak positif untuk mengesahkan kemenangan 21-14 dalam tempoh 39 minit permainan.

"Biarpun pernah menang ke atas mereka sebanyak dua kali sebelum ini, namun saingan hari ini (Jumaat) bukan mudah. Setiap kali bertemu mereka, saya anggap ia sebagai cabaran baharu dan perlu bersungguh-sungguh.

"Ketika mendahului pada set pertama dan kemudian menang, saya tidak boleh pandang mudah kerana mereka boleh bangkit. Apapun lega dan gembira dengan kemenangan ini," ujar Tang Jie.

Kemenangan tersebut pasti melegakan mereka yang menghuni ranking kesembilan dunia dalam perjalanan menuju ke Paris yang berbaki 63 hari lagi.

Ee Wei bagaimanapun enggan terlalu memikirkan terlalu jauh, sebaliknya mahu fokus dari satu demi satu kejohanan.

"Belum mahu fikir final atau lebih jauh, namun fokus satu demi satu perlawanan," kata pemain dari Melaka itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Kian Meng menerima kekalahan tersebut dengan hati terbuka kerana mereka sudah memberikan yang terbaik.

"Saya dan pasangan sudah keluarkan apa yang kami ada untuk menyaingi lawan. Namun mereka lebih baik dan menang," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!