Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dibuka rendah dalam dagangan awal pada Jumaat susulan data ekonomi kukuh Amerika Syarikat (AS) yang menyokong dolar AS.

Pada 9 pagi, ringgit menyusut kepada 4.7150/7190 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.7020/7055 pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan AS yang lebih kukuh daripada jangkaan menjejaskan harapan kemungkinan penurunan kadar faedah AS.

PMI US meningkat kepada 50.9 mata pada Mei, bacaan 50 mata ke atas yang kedua berturut-turut yang menandakan pengeluar di AS secara umumnya optimis dengan prospek perniagaan mereka.

"Selain itu, data Tuntutan Pengangguran Awal susut kepada 215,000 minggu lepas berbanding jangkaan pasaran pada 220,000, dengan minggu sebelumnya pada 223,000.

"Oleh itu, kami menjangkakan ringgit kekal lemah berbanding dolar AS selepas mencatatkan peningkatan sejak awal Mei,” katanya kepada Bernama.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain kecuali euro apabila meningkat kepada 5.0969/1012 daripada 5.0993/1031.

Unit tempatan turun berbanding yen Jepun kepada 3.0022/0050 daripada paras penutup 3.0012/0036 pada Khamis dan susut berbanding pound Britain kepada 5.9852/9903 daripada 5.9824/9868 sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.

Unit tempatan hampir tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 8.09/8.11 daripada 8.09/8.10 pada Khamis, turun berbanding rupiah Indonesia kepada 294.8/295.0 daripada 294.0/294.2 dan jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4861/4896 daripada 3.4843/4874.

Ringgit naik berbanding baht Thai kepada 12.8614/8773 daripada 12.8688/8833 sebelumnya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!