Perjalanan terakhir: Ebrahim Raisi dikebumi di bandar suci Mashhad

Keranda Ebrahim Raisi diiringi ribuan penyokong semasa diarak sebelum dikebumikan di Kubah Emas Imam Reza. Foto AFP
Keranda Ebrahim Raisi diiringi ribuan penyokong semasa diarak sebelum dikebumikan di Kubah Emas Imam Reza. Foto AFP
A
A
A

MASHHAD - Presiden Iran, Ebrahim Raisi dikebumikan di bandar suci Mashhad pada Khamis dengan ribuan rakyat memenuhi jalanan untuk mengiri perjalanan akhir Allahyarham.

Majlis pengebumian Ebrahim diadakan empat hari selepas beliau meninggal dunia dalam nahas helikopter.

Allahyarham Ebrahim, 63, dilihat calon paling tepat untuk menggantikan pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei yang berusia 85 tahun.

Manakala, pengganti Ebrahim, Mohammad Mokhber, yang pernah menjadi Naib Presiden pertama akan berkhidmat sebagai Presiden sementara sehingga pilihan raya umum negara itu yang akan diadakan pada 28 Jun depan.

Pengebumian jenazah Allahyarham Ebrahim turut dihadiri oleh pegawai kerajaan dan tentera Iran, serta tokoh agama.

Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan ulama serta pegawai lain menunaikan solat jenazah mangsa nahas helikopter di Tehran. Foto AFP
Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan ulama serta pegawai lain menunaikan solat jenazah mangsa nahas helikopter di Tehran. Foto AFP

Bunga dilemparkan ke kerandanya ketika ia bergerak perlahan menaiki trak melalui kerumunan orang ramai untuk dikebumikan di Kubah Emas Imam Reza, tapak suci Islam Iran dan dihormati sebagai tempat Imam Ali Al-Reza abad ke-9 disemadikan.

Ebrahim berasal dari Mashhad, iaitu 900 kilometer dari timur Tehran.

Artikel Berkaitan:

Tentera membawa keranda jenazah Ebrahim Raisi dan yang lain, ketika tiba untuk perarakan pengebumian di bandar timur Birjand pada Khamis. Foto AFP
Tentera membawa keranda jenazah Ebrahim Raisi dan yang lain, ketika tiba untuk perarakan pengebumian di bandar timur Birjand pada Khamis. Foto AFP

Allahyarham Ebrahim maut dalam insiden helikopter terhempas yang turut menyebabkan lapan penumpang dan anak kapal terbunuh termasuk Menteri Luar, Hossein Amirabdollahian pada Ahad lalu.

Helikopter berkenaan terhempas di kawasan pergunungan berhampiran sempadan Azerbaijan.

Iran mengisytiharkan lima hari berkabung untuk Ebrahim.

Hossein pula dikebumikan di selatan Tehran di makam di bandar Rey Shah Abdolazim, di mana ahli politik dan tokoh terkenal Iran dikebumikan. - Awani

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!