X

Kindly register in order to view this article
!

PRK Kimanis: Isu tempatan, negeri penyumbang kemenangan

Dr Sivamurugan
A
A

SHAH ALAM - Tidak mustahil isu tempatan dan kenegerian yang menyumbang kepada kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis mampu memainkan peranan sama untuk menentukan sokongan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, BN telah menggunakan isu yang sebenarnya dekat dengan pengundi pada PRK Kimanis sehingga mampu meraih sokongan pengundi atas pagar.

Menurutnya, pendekatan BN mengangkat isu tempatan itu juga menjadi salah satu daripada asas untuk meraih sokongan dalam pilihan raya.

"Bagi Pakatan Harapan (PH) sudah pasti mereka menilai sepenuhnya strategi dan gerakan yang telah dilakukan baik di Semenanjung atau di Sabah dan bagaimana untuk memastikan bahawa isu-isu lokal juga memainkan peranan yang cukup signifikan.

"Misalnya kalau di Kimanis saya percaya isu tempatan dan isu negeri telah memainkan peranan yang besar khususnya isu Pas Sementara Sabah (PSS) dan kemudian jentera parti. Adakah wujud keserasian antara Warisan, Bersatu dan lain-lain.

"Kita melihat isu yang lain juga penting, kos sara hidup, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan isu ini juga rapat dengan kedudukan di Sarawak," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau dalam masa sama juga percaya BN akan meneruskan momentom yang telah mereka tunjukkan di Semenanjung dan juga Sabah justeru PH perlu memberi perhatian perkara itu sebagai satu bentuk isyarat atau 'wake up call'.

Katanya, isu yang paling besar di Kimanis seolah-olah menjadi referendum kepada isu PSS kerana berkaitan aspek kerakyatan, kewarganegaraan dan kebebasan untuk mereka yang bukan bermastautin.

"Isu royalti minyak, isu MA63..isu-isu ini penting yang turut mendasari isu kos sara hidup.

"Bagi saya di Sarawak nanti isu MA63 akan jadi isu besar. Bimbang ada gerakan seperti seperti PRU14, ada gerakan Sabah Sarawak keluar Malaysia," katanya.

Jelas beliau lagi, isu hak negeri merupakan perkara yang ada hubungan dengan Persekutuan menjadikan isu lokaliti itu amat penting di Sabah dan Sarawak.

"Mereka tidak mahu melihat sebagai salah sebuah negeri daripada 13 negeri, mahu melihat adanya autonomi yang berbeza dengan negeri lain. Jadi soal itu saya rasa PH dan BN akan kupas dan teliti," katanya.