Ketirisan RM2 bilion libat petugas kastam - SPRM

SPRM
SPRM
A
A
A

PUTRAJAYA - Ops Samba 2.0 yang dilaksanakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama dua institusi kewangan negara berjaya mengesan ketirisan hasil cukai sebanyak RM2 bilion.

SPRM dalam satu kenyataannya berkata, Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah melaksanakan Ops Samba 2.0 bermula 11 Mac lalu.

Kata kenyataan itu, operasi tersebut yang berakhir 25 Mac lalu telah menumpukan siasatan kepada anggota dan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang bertugas di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurutnya, hasil siasatan melibatkan operasi tersebut akhirnya telah berjaya mengesan ketirisan hasil cukai sebanyak RM2 bilion dengan membabitkan 61 petugas JKDM serta pemilik syarikat.

"Ini merupakan satu kerugian hasil negara yang amat besar dan memberi impak negatif berterusan kepada ekonomi negara sekiranya tidak dibendung.

"Dalam operasi ini, SPRM telah menahan 34 anggota dan pegawai dari Gred 19 hingga 44, bersama 27 individu dan pemilik syarikat.

"Hasil siasatan juga mendapati mereka bersekongkol dengan sindiket penyeludupan pengimportan dan penjualan arak serta rokok seludup," kata kenyataan itu pada Khamis.

Berikutan penahanan individu terbabit, menurutnya, bahagian AML SPRM telah merampas telefon bimbit, komputer riba serta lapan kenderaan mewah milik sindiket terbabit bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, SPRM juga membekukan sebanyak 231 akaun bank milik individu, syarikat dan 'akaun keldai' berjumlah RM18 juta yang terbabit dengan kegiatan sindiket penyeludupan berkenaan.

"Setakat ini, dua pegawai Kastam telah dituduh dan seramai 23 anggota dan pegawai Kastam akan didakwa di enam Mahkamah Sesyen yang berasingan di seluruh negara sehingga 6 Jun ini.

"Kesemua mereka akan didakwa di bawah kesalahan Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan," kata kenyataan itu.

Info:

1) Ops Samba 2.0

-Ketirisan hasil cukai sebanyak RM2 bilion

-Dilaksanakan SPRM bersama LHDN, BNM

-Bermula 11 hingga 25 Mac 2024

-61 individu ditahan (pegawai JKDM, pemilik syarikat)

-Rampasan telefon bimbit, komputer riba

-Tindakan beku 231 akaun bank individu, syarikat dan akaun keldai bernilai kira-kira RM18 juta

2) Modus operandi sindiket

-Sindiket gunakan khidmat 'forwading agent' sebagai orang tengah bagi membuat transaksi pembayaran rasuah untuk melicinkan proses kemasukan dan penyeludupan kargo berisi barang seludup

-Forwading agent menggunakan wang yang dibekalkan sindiket dengan membuat pindahan melalui akaun keldai (mule account) kepada pegawai agensi penguat kuasa

-Penguat kuasa yang menerima rasuah berperanan melicinkan kemasukan kargo tanpa melalui pengisytiharan dan pemeriksaan.

-Sindiket menggunakan hasil penyeludupan dengan membuat pembelian hartanah.

3) Tindakan

-Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan