PBAKL 2024: Karangkraf Land perkenal lebih 100 judul buku baharu

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Grup Buku Karangkraf (GBK) menawarkan lebih 100 judul buku baharu di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 (PBAKL 2024) bermula 24 Mei hingga 2 Jun di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.

Pengurus Penerbitan GBK, Azzah Abdul Rahman berkata, pengenalan naskhah baharu itu melibatkan buku agama, umum, kanak-kanak, novel dan al-Quran.

Azzah
Azzah

"Buku baharu yang kita bawa ialah Jalan Tegak oleh Syed Saddiq, kita juga ada buku terjemahan dari Korea Selatan iaitu Selamat Datang ke Kedai Buku Hyunam-Dong dan dua genre novel K-Lit seperti Bangkit serta Takhta Mayaloka.

"Kita tawarkan diskaun sebanyak 10 hingga 20 peratus untuk semua buku baharu dan tiada had pembelian ditetapkan kepada pengunjung yang hadir," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPM), Azman Adnan berkata, PBAKL 2024 edisi ke-41 akan menghimpunkan 241 pempamer dari dalam dan luar negara dengan melibatkan 972 buah reruai.

Beliau menjangkakan, 1.5 juta pengunjung hadir sepanjang PBAKL 2024 berlangsung.

Tambah Azzah, reruai GBK yang membawa tema 'Karangkraf Land' akan berada di aras tiga dan empat bermula jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang PBAKL 2024 berlangsung seperti pertandingan mewarna, DIY Bookmark dan temu mesra bersama penulis.

Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Firdaus Hussamuddin (tengah) bersama petugas GBK di rerurai Karangkraf Land pada Khamis.
Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Firdaus Hussamuddin (tengah) bersama petugas GBK di rerurai Karangkraf Land pada Khamis.

Ujarnya, pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah menarik bernilai RM3,000 dalam acara cabutan bertuah jika berbelanja lebih daripada RM100 di reruai GBK yang bertemakan Karangkraf Land.

"Kita berikan tiga baucer tiket penerbangan bernilai RM500, baucar beli-belah sebanyak RM100 dan bagasi kepada pelanggan yang bertuah dengan syarat mereka melakukan pembelian minimum RM100 dalam satu resit.

Selain itu, kita juga turut menyediakan aktiviti sesi temu mesra bersama penulis iaitu Ramlee Awang Murshid, Syed Saddiq, Husbah Haris, Nureen Mirza, Izzati Yasin dan ramai lagi," jelasnya.

Menurutnya, pengunjung yang hadir ke PBAKL 2024 boleh mendapatkan lebih 700 judul buku dengan tawaran diskaun antara 20 hingga 25 peratus untuk naskah lama.

Dalam pada itu Azzah mengalu-alukan orang ramai untuk hadir ke reruai GBK iaitu Karangkraf Land bagi mendapatkan buku dengan tawaran harga istimewa yang disediakan.

"Kita sediakan semua jenis buku bersesuaian dengan semua jenis peringkat umur, jadi anda boleh hadir bersama seluruh ahli keluarga dan berpeluang untuk menyertai acara cabutan bertuah," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!