Bekas setiausaha politik Hamzah Zainudin akan didakwa lagi esok

Bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM350,000. Foto Bernama
Bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM350,000. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas setiausaha politik kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan didakwa lagi atas tuduhan meminta rasuah RM350,000 empat tahun lalu, di Mahkamah Sesyen Shah Alam, pada Jumaat.

Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad, 42, akan dituduh atas tuduhan berkenaan menerusi Pengarah Urusan Syarikat Nexuscorp Group Sdn Bhd, Wan Azhar Mohamed Yusof.

Pertuduhan terhadap bekas setiausaha politik bekas Menteri Dalam Negeri itu akan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen terbabit memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, di hadapan Hakim, Azura Alwi, Sayed Amir Muzzakkir didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah RM350,000 daripada Wan Azhar.

Timbalan Pendakwa Raya, Zander Lim Wai Keong berkata, tertuduh akan didakwa di Mahkamah Shah Alam pada Jumaat.

“Oleh itu risiko untuk tertuduh melarikan diri masih wujud, walaupun dia menyatakan telah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

“Saya mohon mahkamah memberi ikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin kerana jumlah itu adalah munasabah,” katanya ketika cadangan jaminan terhadap Sayed Amir Muzzakkir.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, peguam, Md Yunos Shariff mewakili Sayed Amir Muzzakkir mengesahkan telah dimaklumkan mengenai pertuduhan baharu itu menerusi notis pendakwaan berkenaan.

“Jika dia hadir bagi menghadapi pertuduhan di sini hari ini, takkan dia mahu melarikan diri daripada menghadapi pertuduhan baharu esok, ia sangat pelik.

“Saya mengesahkan anak guam akan hadir pada Jumaat,” katanya.

Pada Khamis, Sayed Amir Muzzakkir didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan RM350,000 berhubung tender perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti peralatan, pada empat tahun lalu.

Mengikut dua pertuduhan, lelaki itu didakwa menerima wang rasuah masing-masing RM100,000 dan RM250,000 daripada Pengarah Urusan Syarikat Nexuscorp Group Sdn Bhd, Wan Azhar Mohamed Yusof.

Ia sebagai upah untuk membantu syarikat itu mendapatkan tender Perkhidmatan Penyelenggaraan Dan Pembekalan Alat Ganti Bagi Peralatan Infrastruktur, Server, Perisian Dan Radio Pengguna Sistem RMPNET Untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kementerian Dalam Negeri (KDN) bernilai RM381,112,042.44

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun.

Kesalahan didakwa dilakukan di pejabat Yayasan Tanah Aku, di Solaris Dutamas Jalan Solaris Dutamas, di sini pada 4 dan 16 Disember 2020.

Ia termasuk didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau sepuluh ribu ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!