300 penunggang dapat isi minyak percuma

Muhammad Shakir mengisi minyak salah sebuah motosikal terpilih pada program Jom Isi Minyak Motosikal Percuma Siri 2 di Stesen Minyak Petronas Bukit Subang, Persiaran Metafasa, Seksyen U16, Shah Alam pada Selasa.
Muhammad Shakir mengisi minyak salah sebuah motosikal terpilih pada program Jom Isi Minyak Motosikal Percuma Siri 2 di Stesen Minyak Petronas Bukit Subang, Persiaran Metafasa, Seksyen U16, Shah Alam pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meneruskan inisiatif membantu rakyat menerusi program Jom Isi Minyak Motosikal Percuma Siri 2 pada Selasa.

Pengarah Korporat dan Perhubungan Awamnya, Mohd Azhar Mohd Sharif berkata, seramai 300 penunggang motosikal menerima manfaat itu.

Menurutnya, mereka yang terpilih merupakan kumpulan sasaran seperti penghantar makanan, penjawat awam, pekerja industri, serta penuntut pusat pengajian tinggi di kawasan sekitar.

"Inisiatif ini usaha berterusan membantu komuniti di dalam kawasan pentadbiran MBSA dan sebagai salah satu program kemasyarakatan untuk merapatkan hubungan perpaduan, ukhwah silaturahim dengan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Program itu disempurnakan oleh Ahli Majlis MBSA, Muhammad Shakir Ameer Mohideen dan turut dihadiri Timbalan Setiausaha Pengurusan MBSA, Asmah Mohd Zin.

Program pemberian minyak petrol percuma itu dilaksanakan di Stesen Minyak Petronas Bukit Subang, Persiaran Metafasa, Seksyen U16 di sini.

Mohd Azhar memberitahu, setiap penunggang motosikal menerima petrol percuma bernilai RM10 dan berharap pelaksanaan program kebajikan terhadap komuniti dapat meningkatkan kesedaran tanggungjawab sosial dalam kalangan warga Shah Alam untuk bersama berganding bahu membantu golongan memerlukan.

"Program ini juga merupakan sebahagian daripada Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) iaitu Tiada Kemiskinan (SDG 1), dan Bandar dan Masyarakat Lestari (SDG 11) serta sejajar dengan dengan komitmen untuk menjadikan MBSA sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang prihatin," tambah beliau.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!